suria

AirAsia Nafi Berurusniaga Dengan Rolls-Royce PLC

Gambar fail.

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Bhd menjelaskan bahawa ia tidak berurusan atau berurusniaga dengan pengeluar enjin pesawat United Kingdom (UK), Rolls-Royce PLC. 

Dilaporkan bahawa Serious Fraud Office (SFO) UK menamakan AirAsia Group sebagai antara pihak-pihak asing yang didakwa terlibat dalam kes rasuah dengan pengeluar enjin pesawat UK itu. 

"Kami ingin menyatakan bahawa sepanjang masa, AirAsia tidak mempunyai urusan atau urus niaga dengan Rolls-Royce dan tidak tahu menahu mengenai sebarang perkara yang disebut dalam artikel itu," kata syarikat penerbangan tersebut dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Isnin.

Mengenai jet korporat Bombadier Global Express yang dimiliki oleh Caterhamjet Global Ltd (CJG), AirAsia ia telah melalui proses yang sewajarnya dan memperoleh kelulusan yang perlu bagi urus niaga itu. 

"Di bawah perjanjian bagi urus niaga itu, AirAsia dikehendaki untuk membuat sumbangan tahunan sebanyak AS$3 juta setahun bagi penggunaan jet korporat. 

"Sumbangan tahunan itu merangkumi kos bahan api, kejuruteraan dan penyenggaraan pesawat, caj laluan, fi pendaratan, caj parkir, caj pengendalian darat dan kos keselamatan dan imigresen dan sebagai balasan, CJG bersetuju untuk menyediakan minimum 75 jam penerbangan sebulan kepada eksekutif AirAsia," kata AirAsia.

Sebelum 2015, penggunaan jet korporat bagi membawa ketua eksekutif kumpulan AirAsia dan AirAsia X Bhd telah dikontrakkan menerusi AirAsia Asean Ltd. 

Kos yang ditanggung bagi penggunaan dan penyenggaraan pesawat itu dibayar oleh syarikat sekutu AirAsia seperti Thai AirAsia dan Indonesia AirAsia, dan bukan AirAsia. 

AirAsia kemudiannya telah memeterai perjanjian jual dan beli bagi membeli jet korporat yang sama daripada CJG pada 21 Jun, 2016, seperti yang diumumkan kepada Bursa Malaysia. 

"Proses urus niaga itu masih belum selesai," kata AirAsia. - Bernama

AirAsia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain