suria

Bot Karam Di Mersing: Empat Lagi Mayat Ditemui

Bot berkenaan dipercayai dinaiki 40 orang dari Batam, Indonesia untuk masuk ke negara ini sebelum karam akibat dipukul ombak kuat. Kelihatan bot berkenaan yang terdampar di pantai. Foto Bernama

MERSING: Empat lagi mayat ditemukan pada Selasa, menjadikan 14 orang angka korban bot karam di perairan Tanjung Rhu di sini, Isnin.

Ketua Polis Daerah Mersing, DSP Cyril Edward Nuing berkata, dua mayat melibatkan seorang lelaki dan perempuan ditemui terapung sekitar empat batu nautika dari Tanjung Rhu pada 4.40 petang tadi oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang menjalankan rondaan di kawasan itu.

Terdahulu, mayat dua lelaki tanpa dokumen diri ditemukan terdampar oleh pasukan mencari dan menyelamat di pantai berhampiran pada 12 tengah hari Selasa.

Katanya, kesemua mayat berkenaan dihantar ke Hospital Mersing untuk bedah siasat.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi Isnin, bot pancung dipercayai dinaiki 40 orang dari Batam, Indonesia cuba masuk ke negara ini sebelum karam akibat dipukul ombak kuat.

Mayat 10 warga asing melibatkan empat lelaki dan enam wanita dijumpai terdampar di pantai berkenaan Isnin, bagaimanapun dua mangsa ditemui selamat iaitu seorang lelaki dan seorang wanita, masing-masing berusia 28 dan 20 tahun.

Operasi mencari dan menyelamat melibatkan anggota polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan