ASSALAMUALAIKUM. Pelbagai kisah anak istimewa sepanjang menunaikan ibadat umrah dari 24 Disember 2016 hingga 4 Januari 2017. Minggu lalu saya memaparkan kisah Atikah dan Azizah di Raudah dan kali ini saya mahu berkongsi cerita perihal anak istimewa lelaki pula. Along atau Mohd Izanuddin, 30, paling mencuri perhatian. Ada saja gelagatnya yang mencuit hati dan meninggalkan kesan serta menjadi perhatian sebahagian besar jemaah walaupun baru beberapa hari menjejakkan kaki ke kota Madinah. Along tidak ditemani ibu bapanya tetapi sentiasa tersenyum girang dan ramah dengan sesiapa saja walaupun baru dikenali. Dia bersalaman dengan lelaki dan rajin memberi salam kepada jemaah lelaki dan wanita apabila berselisih jalan. Senyuman sentiasa terukir dibibir Along, mudah didekati dan cepat mesra. Along, dari Pemulihan Komuniti (PDK) Petaling tidur sebilik dengan pengiring, Mohd Zaini Jamil dan dua lagi anak syurga iaitu Mohd Khuzairy dan Rozidi. Seperti biasa, kunjungan ke Madinah tidak lengkap tanpa berziarah di sekitar kota itu. Justeru, Masjid Quba, Bukit Uhud, makam syuhada Uhud, ladang tamar dan masjid Qiblatain antara lokasi ziarah paling sering dikunjungi. Selepas bersarapan dan pada kira-kira jam 8 pagi berangkatlah semua rombongan jemaah umrah menziarahi tempat bersejarah yang tertera di dalam aturcara. Alhamdulillah, semua anak istemewa yang dibawa turut menyertai. Mereka kelihatan berseri-seri dan ceria pada pagi itu, yang lelaki berkopiah putih kecuali Mior Azib mengenakan kain shemagh berwarna merah putih dilengkapi igal manakala Muhaimin pula segak bergaya dengan kaca mata hitam. Ketika tiba di Masjid Quba, jemaah lelaki memasuki ruang solat lelaki. Begitu juga pada jemaah wanita. Saya bersama-sama Azizah dan Atikah (kedua-duanya anak istimewa), Azah, Zuraini, Aziah dan Fauziah. Selepas menunaikan solat sunat, kami bergambar kenangan dan seterusnya ke Uhud serta menghabiskan masa hampir satu jam di ladang tamar untuk bergambar kenangan, minum dan merasa tamar serta kacang. Kami hanya melalui masjid Qiblatain dan seterusnya pulang semula ke Hotel Sofaara Iman. Setelah menikmati hidangan tengah hari, semua berehat. Pada waktu Asar kembali ke masjid untuk bersolat. Begitu juga Maghrib dan Isyak. Usai menikmati hidangan malam, jemaah berkumpul di lobi hotel pada jam 9 malam untuk bersama-sama membeli tamar dan kekacang di hotel berhampiran sebagaimana dijanjikan oleh Haji Rodi, ketua rombongan kami dari Zahafiz Travel Tours. Ramai jemaah pergi, termasuk saya dan tiga lagi pengiring anak istimewa iaitu Zainab, Haji Omar dan Mohd Zaini. Disebabkan seorang lagi pengiring, Zuraini tidak ikut, beliau memesan saya membelikan tamar untuk Rozidi dan Muhaimin. Justeru kami membawa mereka. “Along tak nak ikut. Dia tidur,” ujar Mohd Zaini pada saya sejurus melihat saya di lobi hotel. “Oh ok. Tak apalah. Mungkin dia penat,” balas saya. Namun tiba-tiba, Mohd Zaini naik semula ke paras empat kerana dimaklumkan oleh Fauziah bahawa Along menangis. Sepuluh minit kemudian, beliau turun semula ke lobi. “Saya letak Along di dalam bilik anak saudara Datin (Ainiah). Dia dah diam tadi,” ujar Mohd Zaini. Tidak lama selepas itu kami pun berjalan ke hotel berhampiran untuk membeli tamar dan kekacang tetapi saya tidak membeli kerana lebih selesa berbelanja di paras mezanin Hotel Millenium Aqeeq yang turut menjual tamar dengan harga berpatutan. Jadi, saya mengajak Mohd Zaini dan tiga lagi anak istimewa ke hotel berkenaan. Kami membeli tamar dan kekacang untuk Along, Muhaimin, Khuzairy dan Rozidi. Mudah membawa mereka sebab ketiga-tiga boleh mengangkat sendiri barangan yang dibeli itu. Sejurus membeli, kami terus berjalan pulang. Setiba di paras empat dan sejurus lif terbuka, kelihatan ramai jemaah di dalam bilik 407. Nama saya dipanggil oleh beberapa jemaah. “Along meracau …Along kena rasuk agaknya…”ujar Zuraini. “Dia cakap nampak wanita rambut panjang dan mata merah,” ujar Haji Omar pula. Terdahulu, Haji Omar sudahpun menawarkan air untuk Along sejurus tiba di hotel sekembali dari membeli tamar. “Dia hentak tangan dan kepala di dinding dan dia cakap nampak hantu,” ujar Haji Omar lagi. Di atas katil, Along terbaring sambil mulutnya memanggil mak aji. Along memanggil saya mak aji. “Nak mak aji….nak mak aji…” rengeknya. “Ada air zamzam? tanya saya spontan. Entah siapa yang menyerahkan air zamzam di dalam botol saya sendiri tidak perasan kerana hairan melihat keadaan Along. Tidak pernah saya lalui pengalaman seumpama itu. Saya meletakkan air zamzam di telapak tangan saya dan berselewat lantas menyapunya ke wajah Along. Dia nangis pada mulanya dan pada sapuan yang ketiga, Along tersenyum dan mengucapkan terima kasih. Dia kembali tenang tetapi masih terbaring. “Tak mungkin dia kena rasuk sebab tangannya tidak mencengkam,” ujar saya pada Haji Omar. Ketika melihat keadaan Along sebegitu, saya turut menghantar whatsapp kepada Haji Rodi agar segera datang ke bilik berkenaan untuk melihat keadaan Along. Kebimbangan tetap bermain dalam fikiran saya ketika itu kerana baru beberapa hari saja mengenali Along. Alhamdulillah, beliau dan Ustaz Bilal juga turun ke bilik berkenaan. Haji Rodi dan Ustaz Bilal memeluk Along dan memujuknya. Keadaan kembali reda dan Along pulang semula ke dalam biliknya bersama-sama Mohd Zaini, Rozidi dan Khuzairy. Pagi esoknya, di dewan makan, Along bersarapan dengan saya. Sudah menjadi kelaziman, sejak hari pertama di Madinah, dia makan bersama-sama saya dan selesa memanggil saya mak aji. “Cantik telefon mak aji…” ujar Along. “Biasa saja Along. Telefon lama,” balas saya pula. “Cantiklah telefon macam ni. Along pun nak,” ujar Along lagi. “Balik KL nanti, Along suruh mak belikanlah,” balas saya. Along diam dan memegang telefon saya seketika. Selesai menikmati sarapan, dia kembali ke biliknya bersama-sama Mohd Zaini, Khuzairy dan Rozidi. Saya sudah berjanji dengan Muhaimin untuk membawanya ke Starbucks pada kira-kira jam 9 pagi tetapi ketika duduk di lobi, saya menerima whatsapp daripada Zuraini, Mohd Zaini dan Afikah yang meminta saya naik segera ke paras empat. Sejurus lif terbuka, Muhaimin berdiri di tengah-tengah. “Kenapa Min?” tanya saya pada Muhaimin. “Telefon saya tak ada aunty…” balas beliau dengan wajah agak cemas. “Hilang di mana?” tanya saya. “Min tidur dalam bilik Along tadi dan letak atas dada. Bila terjaga, tengok dah tak ada…” balas Muhaimin. Muhaimin meminta saya menghubungi nombornya sambil dia dan Mohd Zaini masuk semula ke dalam bilik berkenaan. Saya turut mengekori dan terdengar sayup-sayup deringan telefon bimbit Muhaimin. Saya masuk ke dalam bilik itu dan memanggil Along. “Along dah makan ubat ke?” tanya saya. “Dah makan tadi,” balas Along. “Along ada nampak telefon Muhaimin tak?” tanya saya. Dia tersenyum dan mengatakan mengambil telefon Muhaimin kerana melihat Muhaimin asyik menggunakan telefon bimbit. Along kemudiannya memulangkan telefon bimbit Muhaimin dan tersenyum panjang. Tidak lama selepas itu, saya dan Muhaimin menuju ke Starbucks yang terletak berhampiran pintu 26. Muhaimin adalah anak istimewa bermasalah pembelajaran berusia 23 tahun dan kini bertugas di Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sentosa dan bekerja separuh masa di Starbucks Subang. Bersambung minggu depan, insyaAllah.