KOTA KINABALU: Sebuah bot membawa 13 penumpang dilaporkan karam di perairan Tawau. Bot dengan anak kapal warganegara Indonesia dipercayai karam dekat Kg Batu Payung kira-kira dua hari lalu. Dua mangsa masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Difahamkan kesemua mangsa sedang menuju ke Indonesia dari Tawau semasa insiden berlaku. Menurut seorang pegawai dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, kedua-dua mangsa yang berjaya diselamatkan berada dalam keadaan separuh sedar ketika ditemui. Operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dijalankan di kawasan pinggir pantai. Sementara itu, maklumat terkini mengenai tragedi tersebut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.