Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh waris mangsa yang terselamat dalam kejadian itu.
"Menurutnya, semasa kejadian itu, dia (waris) menanggalkan jaket keselamatan kedua-dua mangsa yang didapatinya telah meninggal dunia dan memberikannya kepada mangsa lain yang masih hidup," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.
Beliau berkata, berikutan maklumat itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari ke-13 hari ini diteruskan untuk mencari dua mayat serta tiga lagi mangsa lain yang hilang.
Dalam tragedi itu, bot pelancong jenis katamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal, karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum.
Setakat ini 26 mangsa ditemui termasuk empat yang maut.