suria

Satu Lagi Mayat Bot Karam Tawau Ditemukan

Anggota Bomba dan Penyelamat serta Polis Indonesia membawa salah satu mayat mangsa bot karam yang dijumpai dekat perairan Laut Sebatik Indonesia pada 9 Februari 2017. -Bernama

KOTA KINABALU: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui satu lagi mayat mangsa bot karam di perairan Batu Payung, Tawau pada Khamis, menjadikan tujuh mayat mangsa ditemui setakat ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som, berkata mayat mangsa, Azlan Moja, 30-an, itu ditemui pada 5.48 petang di lokasi 1.9 batu nautika barat laut ke Kampung Titingan, Tawau.

"Berikutan penemuan itu, sehingga ini empat lagi individu yang masih hilang termasuk dua kanak-kanak dan empat orang lagi dilaporkan selamat," katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Beliau berkata tujuh mangsa yang maut telah dikenal pasti iaitu Handra Hadda,40, Taqi Muhd Zaki, 7, Mohdn Faiz,4, Nurhafiza, 2, Azlan, Nasir Selasa, dan Muhd Asraf berusia sembilan bulan.

Mohd Zubil berkata, operasi SAR empat lagi mangsa yang masih hilang itu diteruskan hari ini dengan keluasan lokasi pencarian 68 batu nautika persegi di perairan Tawau.

Pada Selasa, bot laju yang membawa 15 orang warga Indonesia termasuk juragan, karam dipercayai dipukul ombak besar kira-kira lima hingga 10 minit selepas bertolak dari jeti Tinagat Batu Payung.

Bot berkenaan berlepas pukul 5.30 petang ke Sungai Nyamuk di Indonesia.

Sementara itu, Mohd Zubil berkata operasi mencari lima mangsa bot karam yang masih hilang di perairan Pulau Mangalun 28 Januari lepas, diteruskan pada Jumaat.

"Operasi SAR hari ke-14 itu melibatkan 300 anggota dengan lapan aset masing-masing tujuh kapal dan bot serta satu pesawat.

"Operasi pencarian masih melibatkan kawasan 300 batu nautika persegi di Kota Kinabalu," katanya.

Dalam tragedi 28 Jan lepas, bot pelancong jenis katamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal, karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum.

Setakat ini 26 mangsa telah dijumpai termasuk empat yang maut.

Mohd Zubil berkata sehingga kini, pihaknya belum menerima sebarang arahan untuk menghentikan SAR itu.

"Kita akan terus lakukan operasi sehingga ada arahan untuk menghentikan operasi ini," katanya.

Bot Karam, Tawau

Artikel Sebelum

SPRM Soal Siasat Adam Rosly

Artikel Berikut

Artikel Lain