suria

"Saya Bukan Gila Kuasa Atau Primadona" - Zaid

Zaid (dua kanan) menyertai DAP, Selasa lalu.

PETALING JAYA: Datuk Zaid Ibrahim sedar beliau merupakan 'watak utama' apabila ramai bercakap tentang dirinya yang menyertai DAP.

Dalam satu kenyataan di laman blog miliknya pada Jumaat, Zaid meluahkan kebimbangan yang dibangkitkan berdasarkan penglibatan beliau dalam politik sebelum ini.

"Sudah tentu saya adalah watak utama; Saya tidak akan bertahan selama 25 tahun di dalam Umno sebaliknya, tidak dengan semua penggantungan dan laluan berliku yang saya lalui dengan pemimpin parti," katanya.

Zaid berkata beliau juga bertahan 24 tahun di dalam firma guaman yang dibinanya dari awal.

"Saya pastinya bukan primadona, kerana orang yang mengenali saya boleh membuktikannya.

"Saya datang dari latar belakang sederhana dan ia bukan cara saya untuk bermegah-megah," kata Zaid.

Dilantik sebagai menteri pada Mac 2008, Zaid meletak jawatan daripada Kabinet kira-kira enam bulan kemudian selepas mengkritik Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang digunakan terhadap Ahli Parlimen Seputeh (DAP) Teresa Kok, wartawan Tan Hoon Chen dan penulis blog Raja Petra Kamaruddin.

Beliau digantung oleh Umno pada akhir tahun 2008 dan menyertai PKR pada Jun 2009.

Zaid membidas mereka yang melabelnya sebagai 'gila kuasa' dengan berkata hakikat beliau meletak jawatan sebagai seorang menteri (bertanggungjawab terhadap undang-undang) menafikan dakwaan itu.

Tambahan pula, beliau berkata mereka yang memanggilnya sebagai 'kuda liar' juga satu kesilapan.

"Kebenarannya adalah, saya hanya mempunyai peluang kecil untuk menjalankan tanggungjawab saya.

"Saya tahu Tun Abdullah Ahmad Badawi ditekan untuk meletak jawatan sebagai perdana menteri, jadi saya cuba melakukan banyak perkara yang mungkin sebelum itu berlaku," katanya.

Ini katanya, termasuk mendesak pampasan bagi hakim yang dipecat pada 1988 dan tanggungjawabnya untuk merangka kerja penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya lebih berpengalaman dalam politik pembangkang sekarang dan saya juga semakin berusia. Saya akan menentukan rentak saya," katanya.

Pada Selasa, Zaid mengumumkan penyertaannya dalam DAP dengan berkata beliau memilih parti pembangkang kerana percaya beliau mampu mendekati pengundi Melayu.


Zaid Ibrahim, DAP

Artikel Berikut

SPRM Soal Siasat Adam Rosly

Artikel Lain