PETALING JAYA: Dua wanita berkulit cerah, kedua-duanya berambut paras bahu berjalan ke arah Kim Jong-nam, menarik mukannya dan menyembur cecair beracun yang menyebabkan kematiannya beberapa jam kemudian. Salah seorang daripada wanita itu, memakai baju putih, berskirt denim dan membawa beg sandang biru, manakala rakannya pula mengenakan baju biru dan seluar jean. Mereka berdua dikatakan memiliki raut wajah menyamai wanita Korea. Sebaik melakukan tindakan berani itu, kedua-duanya dengan pantas keluar dari terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) dengan menaiki teksi. Segalanya berlaku dengan pantas hinggakan ia tidak disedari kakitangan Malaysia Airport Holdings Berhad dan juga petugas lapangan terbang itu. Hanya ketika Jong-nam mendekati seorang pegawai khidmat pelanggan untuk memaklumkan kesakitan yang dialaminya barulah tindakan wanita itu diketahui. Sementara itu, dalam temubual dengan Australia ABC News pada April 2013, rakyat Korea Utara yang kini dalam buangan, Kim Hyun-hee mendedahkan negara asalnya sememangnya menggunakan wanita untuk melakukan pembunuhan terancang. Mendedahkan perkara itu, katanya, beliau sendiri menjalani latihan lapan tahun untuk menjadi ejen perisik sebelum ditugaskan dalam serangan bom penerbangan Korea Air yang mengorbankan 115 orang pada 1987. Bagaimanapun dia ditahan ketika berusia 25 tahun bersama rakannya di Bahrain. Cubaan mereka mengambil pil sianida untuk membunuh diri bagi mengelak ditahan gagal apabila kedua-duanya terselamat. Kini mereka menetap di lokasi rahsia di Korea Selatan dengan dikawal ketak pengawal keselamatan bagi mengelak dibunuh pihak Korea Utara.