suria

Korea Selatan Syak Jong Nam Dibunuh

SEOUL/KUALA LUMPUR: Korea Selatan memberitahu, ia percaya abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dibunuh, susulan tindakan pihak berkuasa Malaysia memindahkan mayat mangsa ke hospital lain untuk dibedah siasat, demikian menurut sumber Reuters.

Sumber kerajaan Amerika Syarikat pula memberitahu Reuters, mereka percaya Kim Jong Nam yang menurut polis Malaysia meninggal dunia pada Isnin ketika dalam perjalanan ke hospital dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), dibunuh dipercayai diracun oleh ejen Korea Utara.

Sebelum ini, Jong Nam secara terbuka telah mengkritik keluarganya.

"Jika pembunuhan Kim Jong Nam semenangnya sah dilakukan regim Korea Utara, ia tentunya mengesahkan tindakan Kim Jong Un yang tidak berperikemanusiaan," kata Perdana Menteri Korea Selatan, Hwang Kyo-ahn pada mesyuarat Majlis Keselamatan negara itu.

Korea Selatan begitu sensitif jika adanya petanda ketidakstabilan di negara itu, terutama apabila ia masih dalam situasi tegang dengan jirannya yang dilengkapi senjata nuklear.

MACAU

Polis Malaysia berkata, lelaki yang maut berusia 46 tahun itu memiliki pasport dengan nama Kim Chol.

Jong Nam sememangnya dikenali sebagai seorang banyak menghabiskan masanya di luar Korea Utara dan pernah ditahan kerana menggunakan dokumen perjalanan palsu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, punca kematian Jong Nam hanya akan diketahui sebaik selesai proses bedah siasat.

Jong Nam merancang untuk ke Macau pada Isnin apabila dia ditemui dalam keadaan kesakitan di terminal KLIA2.

Agensi Perisikan Korea Selatan berkata, ahli keluarga mangsa berada di Macau, lapor Agensi Berita Korea Selatan, Yonhap.

Ditanya sama ada Jong Nam dibunuh, jurucakap Menteri Perpaduan Korea Selatan, Jeong Joon-hee berkata: "Ya, seperti yang saya kata tadi, ia sah dibunuh."

Sementara itu, rangkaian televisyen Korea Selatan, Chosun memetik beberapa sumber kerajaannya melaporkan, Jong Nam diracun menggunakan suntikan oleh dua wanita yang dipercayai warga Korea Utara sebelum melarikan diri dengan menaiki teksi.

Bagaimanapun, Reuters tidak dapat mengesahkan maklumat itu.

Namun media tempatan Malaysia melaporkan, mangsa dibunuh menggunakan semburan beracun oleh dua wanita terbabit.

Selain itu, Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur enggan bercakap dengan wartawan atau membenarkan pihak media memasuki pejabatnya.
Jong Nam, Korea Selatan, Macau

Artikel Lain