KUALA LUMPUR: Malaysia mempertimbang untuk mengusir duta Korea Utara ke negara ini atau menutup kedutaannya di Pyongyang, ketika wujud ketegangan susulan kes pembunuhan Kim Jong-nam. Laporan Reuters menyebut, seorang pegawai kanan kerajaan Malaysia yang tahu mengenai isu itu berkata, ulasan Kang Chol menaikkan kemarahan Malaysia dan ia merangka tindak balas termasuk mengisytiharkan duta terbabit sebagai 'persona non grata.' Tindakan itu mungkin tindak balas paling keras Malaysia terhadap seorang diplomat asing dan bermakna Kang Chol terpaksa meninggalkan negara ini. Sumber itu berkata, Malaysia juga mempertimbangkan pilihan lain. Malaysia yang sehingga kini menjadi sebilangan kecil negara yang mengekalkan hubungan persahabatan dengan Pyongyang yang tersisih, mungkin menutup kedutaannya di Pyongyang atau menamatkan lawatan tanpa visa rakyat negara itu ke Malaysia. Minggu lalu, Kang Chol berkata, negaranya "tidak boleh mempercayai" cara Malaysia menguruskan siasatan itu serta menuduh Malaysia "bersekongkol dengan kuasa luar", rujukan kepada musuhnya, Korea Selatan. Jong-nam, 46, dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) pada 13 Februari lalu ketika menunggu penerbangan ke Macau, lokasi kediamannya bersama keluarganya di bawah perlindungan Beijing. - Reuters