suria

SPRM Kaji Kelemahan Sistem, Prosedur JAINJ

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bekerjasama dengan kerajaan negeri Johor untuk mengkaji kelemahan sistem dan prosedur tatacara pengurusan kewangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata adalah penting untuk merangka prosedur operasi yang standard untuk JAINJ, khususnya dalam pengurusan kewangan untuk mengelak ketirisan pada masa depan.

“Tindakan sedemikian, saya percaya  dapat menutup ruang dan peluang dari berlakunya ketidakpatuhan dalam pengurusan kewangan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas berhubung penahanan empat pegawai agama yang ditahan SPRM Johor baru-baru ini kerana dipercayai terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa.

Tambah Azam, bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM  Johor akan berbincang dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi mengkaji kelemahan sistem dan prosedur  berkenaan.

"Ia sekali gus akan mengukuhkan lagi tatacara kerja pegawai dan kakitangan JAINJ," katanya.

Beliau berkata, selepas mengkaji kelemahan yang wujud, pihaknya akan memperakukan cadangan serta nasihat bagi mengambil langkah sewajarnya untuk mengatasinya.

Azam juga berharap kerjasama ini akan membuka ruang kepada agensi lain untuk bersama dengan SPRM bagi membendung perbuatan salah guna kuasa dan penyelewengan, sekali gus memperkukuhkan lagi tatacara kerja.


SPRM, JAINJ

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain