PETALING JAYA: The Star Online mencapai penanda aras baharu bulan ini apabila meraih bilangan pelawat unik tertinggi dalam sejarah 21 tahun portal berita tersebut. Antara 28 Januari dan 26 Februari, portal itu mencatat kira-kira 7,104,915 pelawat unik dan 57,044,518 jumlah paparan halaman. Catatan tertinggi pelawat unik portal tersebut adalah seramai 7,065,707 pada Mac 2014 semasa insiden kehilangan pesawat penerbangan MH370. Sepanjang tempoh 31 hari itu, The Star Online mencatatkan 59,994,263 paparan halaman. Antara bahan berita yang paling banyak dibaca sepanjang bulan lepas adalah laporan kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un oleh dua wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2). Malah, artikel kes seorang wanita yang maut ditembak ketika sedang memandu kereta jenis BMW di Sungai Dua, Pulau Pinang pada 21 Februari lalu mencatatkan laporan kedua tertinggi dibaca. Manakala, artikel seorang pelajar yang maut selepas dirempuh sebuah kereta BMW yang memasuki arah bertentangan pada 16 Februari lalu, ketiga paling banyak dibaca. "Ia realiti yang menyedihkan apabila banyak berita yang mencatat bacaan tertinggi berkaitan tragedi terutama jika terdapat unsur misteri terlibat. Persamaan laporan MH370 dan pembunuhan warga Korea Utara adalah ia berita tergempar dan berlaku di dalam negara tetapi turut mendapat perhatian global. "Oleh itu kami mencatatkan bilangan pelawat unik tertinggi untuk kedua-dua kes itu," kata pengarang berita The Star Online, Martin Vengadesan. Pada masa sama, Vengadesen turut menyambut baik peningkatan ketara pengguna laman media sosial The Star Online. Laman Twitter portal itu kini mempunyai 1.08 juta pengikut manakala Facebook mendapat kira-kira 831,000 likes. "Kami juga mempunyai medium untuk bertindak balas dengan cepat dan membawa berita yang menepati selera pembaca selain memberikan jawapan kepada pertanyaan mereka," katanya.