KUALA LUMPUR: Raja Salman Abdulaziz Al Saud bertitah universiti dan pusat penyelidikan di negara Islam perlu menghasilkan kerja yang boleh menyumbang kepada pembinaan tamadun Islam. Raja Arab Saudi bertitah apa yang dihasilkan itu harus juga memberi manfaat kepada negara lain di dunia. Ini perlu dilakukan bagi menghadapi cabaran dalam bidang pengetahuan ilmiah dan teknikal, yang menurut titah baginda, tidak jauh bezanya daripada cabaran yang dihadapi dalam aspek politik dan ekonomi. "Universiti merupakan pusat pembinaan negara dan bangsa yang mempunyai misi untuk merealisasikan pembangunan dalam pelbagai dimensi secara menyeluruh," titah baginda pada majlis penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Malaya kepada baginda di universiti itu, di sini malam Isnin. Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selaku Canselor UM berkenan menyampaikan ijazah kehormat itu kepada Raja Salman. Pemerintah Arab Saudi itu seterusnya bertitah universiti juga berperanan memperkukuh perpaduan nasional selain memperkasa budaya dialog, nilai toleransi dan keharmonian hidup antara pelbagai bangsa. "Hal ini penting untuk merealisasikan keamanan dan kedamaian di peringkat antarabangsa hingga masyarakat antarabangsa keseluruhannya dapat menikmati kesejahteraan dan keselesaan," titah baginda dalam bahasa Arab yang diterjemah ke dalam bahasa Malaysia. Raja Arab Saudi yang juga Penjaga Dua Kota Suci itu turut memuji Universiti Malaya yang telah memainkan peranan sebagai antara pusat pengembangan ilmu pengetahuan dalam pembangunan dunia. "Universiti ini juga telah menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan Malaysia serta negara lain," titah baginda yang sedang melakukan lawatan negara empat hari ke Malaysia sejak Ahad, atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V. - BERNAMA