suria

Saudi Aramco, Petronas Meterai Janji Niaga AS$7 Bilion Esok

Najb ketika sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Raja Salman di Seri Perdana, Isnin. fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Saudi Aramco dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan memeterai perjanjian pelaburan bernilai AS$7 bilion pada Selasa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Di bawah perjanjian itu, Saudi Aramco, syarikat petroleum dan gas asli nasional Arab Saudi, akan membangunkan dan menguruskan loji penapisan minyak di  Pengerang (Johor), di bawah projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID).

"Paling menarik perhatian pada lawatan (Arab Saudi) ini adalah keputusan yang telah dicapai antara Aramco dan Petronas pada pagi tadi. Perbincangan dan rundingan telah selesai dan dapat dimuktamadkan.

"Ini (US$7 bilion) adalah satu jumlah pelaburan yang amat besar signifikannya," kata Najib pada sidang media selepas permeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Arab Saudi mengenai kerjasama ekonomi, di sini, Isnin.

Butiran terperinci mengenai MoU itu akan diumumkan pada Selasa.

Najib berkata keputusan tersebut, yang dibuat selepas rundingan menyeluruh  selama tiga minggu antara kedua-dua pihak, kemungkinan merupakan yang terbesar dalam projek itu setakat ini.

Mengenai kemungkinan kerjasama ekonomi lebih erat, Perdana Menteri berkata Malaysia komited untuk meningkatkan hubungan perniagaan dan ekonomi, termasuk pelaburan dan perdagangan dengan Arab Saudi.

"Malaysia mempunyai hubungan perdagangan yang baik dengan banyak negara," katanya.

Najib juga turut membidas pihak-pihak yang menyifatkan pelaburan asing besar yang mengalir masuk ke negara ini sebagai 'menjual kedaulatan Malaysia'.

"Jika kita pergi ke China, kita akan dituduh menjual kedaulatan kita, Saya tertanya-tanya sama ada mereka akan mengatakan kita menjual kedaulatan kita kepada Arab Saudi apabila mereka melabur di sini?

"Ia bukan soal tentang kedaulatan, tetapi tentang pelaburan yang akan memberi manfaat bagi kita. Ia akan membawa masuk modal asing, mengukuhkan ringgit dalam jangka sederhana. Ia juga bermakna lebih banyak peluang pekerjaan dan keyakinan kukuh terhadap ekonomi kita," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dua hala dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, yang sedang dalam rangka lawatan empat hari ke Malaysia.

Perbincangan itu, antara lainnya, menumpukan kepada beberapa bidang pendidikan, keselamatan dan pelaburan.

Najib juga menyaksikan permeteraian empat MoU lain dalam ekonomi, pendidikan, keselamatan dan isu-isu berkaitan.

"Satu MoU dimeterai bagi kerjasama ekonomi dan harapnya akan ada lebih banyak projek yang kita boleh usahakan di Arab Saudi, sebagai contohnya, Metro Line antara Mina dan Mudzalifah yang ketika ini dikendalikan oleh Prasarana Malaysia Bhd.

"Terdapat juga kemungkinan tambahan laluan (Metro) di Riyadh dan beberapa tempat lain (di Arab Saudi)," katanya.

Jumlah perdagangan Malaysia dengan Arab Saudi meningkat 27.8 peratus kepada  RM13.99 bilion tahun lepas daripada RM10.95 bilion pada 2015.

Perangkaan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menunjukkan eksport Malaysia ke Arab Saudi menurun 1.4 peratus kepada RM3.37 bilion (2015: RM3.42 bilion) manakala import meningkat 41.1 peratus kepada RM10.62 bilion (2015: RM7.53 bilion). - BERNAMA

Artikel Lain