PETALING JAYA: Tiada rakyat Korea Utara yang keluar dari Malaysia selepas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan supaya sekatan dikenakan terhadap rakyat negara itu. "Setakat ini, belum ada (rakyat Korea Utara) yang keluar," menurut sumber kepada mStar Online pada pukul 4 petang Selasa. Sumber memberitahu, Jabatan Imigresen mengambil langkah segera mengeluarkan arahan menyekat rakyat Korea Utara keluar dari negara ini. Tambahnya, arahan itu dikeluarkan kepada semua pengarah Imigresen negeri (PIN) termasuk di pintu masuk utama negara di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2. Sumber yang mengesahkan mengenai mesej berkaitan arahan itu yang tular berkata, ia dikeluarkan susulan kenyataan Perdana Menteri bahawa beliau telah mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya melarang semua warga Korea Utara keluar dari negara ini sehingga keselamatan rakyat Malaysia di Korea Utara terjamin. Mesej berkenaan berkata: "Pohon perhatian diminta untuk semua PIN dan KLIA/KLIA2 memaklumkan agar semua pintu masuk tidak membenarkan pemegang pasport DPRK (Korea Utara) meninggalkan negara. "Arahan ini berkuat kuasa serta-merta," tambah mesej berkenaan. Pada Selasa, Korea Utara mengeluarkan arahan melarang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu dan sebagai tindak balas Malaysia turut mengambil tindakan sama terhadap rakyat Korea Utara di negara ini. Perdana Menteri juga menggesa Korea Utara supaya segera melepaskan semua rakyat Malaysia di negara itu bagi mengelak situasi diplomatik lebih tegang di antara kedua negara. Najib juga telah memanggil mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara bagi membincangkan isu berkenaan.