suria

Pemilik Syarikat Dodol Hadapi Pertuduhan Perdagangan Wanita

MELAKA: Seorang pemilik syarikat perusahaan dodol di negeri ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Selasa terhadap pertuduhan memperdagangkan seorang wanita pada Februari lepas.

Siah Siu Eng, 64, didakwa memperdagangkan Anita Dendo, seorang warga Indonesia bagi maksud eksploitasi kerja paksa, di Taman Semabok di sini, pada 5 petang, 11 Februari lepas.

Wanita empat anak itu didakwa mengikut Seksyen 12, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Iffa Sirrhu Samsudin menawarkan wang jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin untuk tertuduh. 

Peguam Andrew Lourdes dan M. Pusppa yang mewakili Siah memohon mahkamah mengurangkan jaminan itu atas alasan anak guam mereka menghidap masalah jantung.

Hakim Norma Ismail membenarkan wanita warga emas itu diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 April depan untuk mengambil rakaman keterangan mangsa.-- Bernama

dodol, migran

Artikel Lain