KUALA LUMPUR: Selepas berlaku beberapa insiden di pejabat Kedutaan Korea Utara di sini, susulan pengumuman larangan rakyatnya keluar dari negara ini, situasi di premis itu kini kembali tenang pada sebelah petang. Jika sebelum ini bangunan kedutaan yang terletak di Bukit Damansara di sini hanya menjadi tumpuan media tempatan dan antarabangsa ekoran kes pembunuhan Kim Jong-nam yang belum selesai, berbeza hari ini apabila kawasan sekitarnya diawasi pasukan polis. Pasukan keselamatan dilihat hadir di sini sebaik sahaja Korea Utara mengumumkan bahawa rakyat Malaysia dilarang keluar dari negara itu sehingga kemelut antara dua negara diselesaikan. Selain membuat sekatan jalan ke bangunan kedutaan itu, pegawai dan kakitangan di dalamnya juga tidak dibenarkan meninggalkan premis itu. Bagaimanapun keadaan kian tenang dan terkawal apabila dua kereta polis yang menghalang pagar kedutaan dialihkan dan garisan kuning dibuka kira-kira pukul 1 tengah hari. Jalan ke kedutaan yang ditutup di kedua-dua arah juga dibuka dengan anggota polis turut dilihat meninggalkan lokasi dan hanya sebuah kenderaan polis yang ada di situ. Kaunselor kedutaan Kim Yu Song yang sebelum itu kelihatan marah susulan sekatan polis di situ telah keluar dari bangunan itu bersama pemandunya lebih kurang pukul 2 petang tanpa sebarang halangan. Beliau yang memakai sut dilihat kembali ke kedutaan kira-kira pukul 5 petang. Walaupun situasi tenang dan terkawal, pihak media tetap tidak berganjak dan terus 'berkampung' di luar kedutaan walaupun ketika hujan pada pukul 3 petang. Susulan sekatan Korea Utara ke atas rakyat Malaysia di negara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengeluarkan kenyataan meminta supaya mereka dilepaskan bagi mengelak situasi diplomatik antara kedua negara lebih tegang.