KULAI: Syarikat Korea Utara yang telah membangunkan satu sistem komunikasi tentera, Glocom, tidak pernah membuat sebarang urusan perniagaan di Malaysia seperti yang diperkatakan sebelum ini. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menjelaskan bahawa Glocom bukan merupakan sebuah syarikat, sebaliknya nama produk yang dibangunkan oleh Korea Utara. Beliau berkata sistem telekomunikasi itu telah dipasarkan oleh International Global System Sdn Bhd, sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh beberapa pemegang saham dari Korea Utara dan Malaysia di Kuala Lumpur pada tahun 2005. Khalid berkata ahli lembaga pengarah syarikat itu telah menutup syarikat tersebut pada awal 2012 dan membuka syarikat lain di bawah nama International Golden Services Sdn Bhd pada pertengahan tahun yang sama. "Walaupun syarikat itu ditubuhkan pada tahun 2005, ia tidak pernah berjaya kerana tiada orang mahukan produknya. "Mereka menyertai pameran dan persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia di Kuala Lumpur pada tahun 2012, 2014 dan 2016 di mana mereka mempamerkan produk dan risalah, tetapi juga tidak berjaya," katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat Unit Risikan Jenayah di sini pada Isnin.