SIBU: Sebanyak 48 penerbangan yang dijadual tiba dan berlepas di Lapangan Terbang Sibu pada Ahad dibatalkan berikutan kejadian pesawat MH2718 Malaysia Airlines tergelincir dari landasan malam Sabtu. Pengurus Lapangan Terbang Sibu, Zainuddin Abu Nasir berkata, daripada jumlah itu, 28 penerbangan adalah MASwings, 16 penerbangan AirAsia dan empat penerbangan Malaysia Airlines. Menurutnya, penerbangan itu melibatkan destinasi Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuala Lumpur, Bintulu, Miri dan Kuching. Jumlah keseluruhan penumpang yang terjejas akibat pembatalan penerbangan tersebut ialah 3,787 orang. "Syarikat-syarikat penerbangan yang terlibat telah membuat keputusan membatalkan penerbangan mereka. "Kita jangka operasi di Lapangan Terbang Sibu akan kembali seperti biasa jam 8 malam nanti sebaik sahaja selesai kerja-kerja mengalihkan pesawat," katanya pada sidang media di sini, Ahad. - Bernama