suria

Op Asap: Tindakan Tegas Penjual Rokok Tak Lulus Kastam

KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu dan peniaga yang didapati menjual rokok tidak lulus kastam melalui Op Asap yang dilancarkan di seluruh negeri mulai Ahad.

Pengarahnya Mohd Nasir Yusoff berkata, Op Asap yang akan dilaksanakan sehingga akhir tahun ini adalah kesinambungan daripada Op Outlet yang dijalankan tahun lepas selepas melihat penjualan rokok haram masih berleluasa di negeri ini.

"Matlamat JKDM Kelantan adalah bagi membersihkan Kelantan daripada penjualan rokok haram yang jelas berbahaya kepada kesihatan kerana kandungannya yang tidak diketahui," katanya kepada pemberita di sini.

Mohd Nasir berkata pada peringkat permulaan, JKDM akan menjalankan pemeriksaan ke setiap premis di sekitar jajahan Kota Bharu yang dikenal pasti berlakunya penjualan rokok haram sebelum diperluaskan ke jajahan lain.

"Mana-mana peniaga yang didapati menjual rokok haram ini akan dikenakan kompaun RM5,000 bagi yang tidak melebihi 10,000 batang manakala sekiranya jumlah melebihi 10,000 batang mereka akan dihadapkan ke mahkamah di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967," katanya.

Beliau berkata, melalui Op Outlet sebelum ini, JKDM sudah menjalankan tindakan secara agresif menangani gejala penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand bertujuan memutuskan rangkaian bekalan rokok haram daripada memasuki pasaran tempatan.

Menerusi operasi itu tahun lalu, pihaknya berjaya menyelamatkan hasil negara yang melibatkan cukai sebanyak RM24.5 juta dan anggaran nilai rokok yang dirampas berjumlah RM3 juta.

"Seramai 59 pesalah yang disyaki telah ditahan manakala 52 kes sudah dibawa ke mahkamah," katanya.

Mohd Nasir berkata melalui Op Asap pula, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 135(1)(iii)(aa) Akta Kastam 1967 iaitu bagi kesalahan pertama adalah denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Sejak awal tahun ini hingga sekarang JKDM Kelantan sudah menahan 17 individu berkaitan rokok haram dengan jumlah kompaun dicatatkan sebanyak RM250,000," katanya.-- Bernama

Kastam, Op Asap

Artikel Lain