suria

Sambutan Luar Biasa Aksi Final Chong Wei-Lin Dan

Ratusan penyokong fanatik beratur di kaunter tiket sejak pukul 1.30 pagi Ahad.

KUCHING: Penyokong badminton di Sarawak ternyata hebat-hebat belaka.

Semua kini tertumpu kepada aksi Lee Chong Wei-Lin Dan pada final Kejohanan Terbuka Malaysia 2017 di Stadium Perpaduan di Petra Jaya pada Ahad, apabila 500 tiket tambahan berjaya dijual dalam masa sejam.

Ratusan peminat fanatik beratur di kaunter tiket bermula pukul 1.30 pagi Ahad, sedangkan kaunter hanya dibuka pada pukul 10.30 pagi.

Bagaimanapun, ramai yang hampa kerana tidak berpeluang mendapatkan tiket perlawanan.

Tiket bagi menyaksikan aksi akhir dijual pada harga RM60 tetapi sesetengah tiket dijual berharga RM550.

Dianggarkan, 4,500 penonton akan menyaksikan perlawanan akhir.

Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai gembira dengan sambutan luar biasa itu.

"Pada awalnya, BAM tidak pasti dengan sokongan peminat di Kuching untuk Terbuka Malaysia.

"Bagaimanapun, tiket yang habis dijual sejak tiga hari lalu membuktikan ramai penyokong badminton di sini," kata Chin Chai.

"Sebagai tanda sokongan buat penyokong semua, kita menyediakan tayangan perlawanan secara langsung menerusi skrin besar di luar stadium bagi mereka yang tidak mendapat tiket," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain