SEMPORNA: Barisan Nasional (BN) mengambil langkah proaktif untuk memadam 'api' yang sesekali dicetuskan parti pembangkang, Parti Warisan Sabah (Warisan) di negeri itu. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, menerusi program pembangunan BN untuk mendekati rakyat diharap dapat mengatasi 'api' yang dimulakan bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menerajui Warisan. "Pembangkang selamanya adalah (bertindak) sebagai pembangkang. Mereka tidak bimbang apa-apa. Mereka cuma mahu menyiram minyak ke dalam api dan kami tidak akan menjadi 'pasukan bomba' tetapi api itu perlu dialihkan," katanya. "Realitinya, rakyat masih mahukan kepimpinan kerajaan sekarang untuk memerintah, untuk memenuhi keperluan rakyat keseluruhannya," katanya ketika ditanya mengenai cabaran yang dicetuskan Ahli Parlimen Semporna itu. Ahmad Zahid berkata, beliau yakin kepimpinan BN dan Umno dapat menangani isu dan meyakinkan rakyat bahawa BN adalah parti yang boleh melindungi dan menjamin masa depan mereka. Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid yang berkias berkata Umno sentiasa membuka pintu seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja untuk menyertai parti itu termasuk bekas anggota parti yang sudah tersalah membuat keputusan meninggalkan Warisan. Mengibaratkan mereka yang tersilap membuat keputusan itu sebagai 'terpijak kulit pisang' kerana cuma memandang ke atas tanpa melihat ke bumi berkata, mereka perlu bermuhasabah diri dan berfikir secara terbuka agar tiada penyesalan. Katanya mereka tidak sepatutnya membuat keputusan ketika sedang marah sebaliknya perlu bertenang dan bermuhasabah diri agar keputusan yang diambil kelak tidak menyebabkan kekesalan. Pada majlis perasmian Akademi Pengajian Al-Quran Semporna (APAQS) di Bugaya pada Ahad itu Ahmad Zahid menerima kemasukan semula kira-kira 300 penyokong Warisan ke dalam Umno. Hadir sama Ketua Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Pemangku Ketua Umno Bahagian Semporna Datuk Seri Nasir Tun Sakaran. Ahmad Zahid berkata parti serpihan cuma bersifat sementara dan tidak akan bertahan lama secara keseluruhannya, walaupun dihujani fitnah, rakyat akan menerima hakikat bahawa yang terbaik itu ialah yang boleh memberi perlindungan kepada mereka. Menurut beliau selain boleh memberi jaminan masa depan, rakyat juga akan memilih parti dan kerajaan yang telah membuktikan rekod pencapaian cemerlang mereka yang selama ini telah dibuktikan kerajaan negeri Sabah dan kerajaan pusat. Katanya, walaupun ada usaha bekas kepimpinan UMNO Semporna yang kini sudah menyertai pembangkang untuk menarik sokongan anggota Umno menyertai mereka namun beliau yakin Umno di bawah kepimpinan bahagian dan negeri masih boleh memantapkan sokongan akar umbi kepada Umno dan BN. Ahmad Zahid Hamidi juga mengingatkan rakyat Sabah agar belajar sejarah politik lalu negeri itu dengan mengelak sepenuhnya daripada melakukan perkara yang boleh mewujudkan ketidakstabilan politik di negeri ini. Beliau berkata ketidakstabilan politik seperti itu yang pernah dilalui Sabah sebelum ini perlu dielak sama sekali kerana kesannya tidak baik kepada Sabah dan rakyat Sabah keseluruhannya. "Kita tahu bahawa parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan parti Berjaya pernah kecundang. Saya tidak fikir ular itu akan menggigit (mematuk) tiga kali di tempat yang sama. Saya harap pengajaran yang telah dialami oleh rakyat Sabah dahulu yang mengakibatkan ketidakstabilan harus dielakkan sepenuhnya. "Saya yakin bahawa kita telah melakukan yang terbaik. Sebagai manusia biasa, mesti ada kelemahan dan kelemahan itu boleh diperbaiki. Tetapi ia bukannya dengan meruntuhkan rumah untuk membina rumah baharu. Jika bumbung, lantai dan dinding bocor kita tampung kebocoran itu. "Tetapi yang pasti tiangnya tetap kukuh. Tiangnya itulah yang menjadi kekuatan kepada kita dan pada hemat saya segala-galanya boleh diberikan kesinambungan. Saya yakin dengan kepimpinan kerajaan negeri sekarang, tiang seri yang kukuh, tiang seri yang menjadi pasak kepada pembentukan sesebuah rumah masih amat diperlukan di Sabah," katanya.