suria

296 Warga Korea Utara Serah Diri Ke Jabatan Imigresen

Mustafar Ali

PUTRAJAYA: Sebanyak 296 warga Korea Utara di Sarawak telah menyerah diri ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),  kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.

Mereka terdiri daripada warga negara itu yang telah tamat tempoh pas yang sah dan tinggal lebih masa menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS), katanya.

"Kesemua 296 orang warga Korea Utara ini telah dan akan keluar dari Malaysia secara berperingkat dengan kerjasama majikan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mustafar berkata JIM memberikan tempoh seminggu sejak 11 April untuk semua warga Korea Utara yang telah tamat tempoh pas yang sah dan masih berada di Sarawak supaya menyerah diri ke Jabatan Imigresen.

Sehingga hari ini, katanya, 113 daripada 117 orang warga Korea Utara dalam senarai Jabatan Imigresen Sarawak telah menyerah diri.

"Bagi empat lagi warga Korea Utara yang masih belum menyerah diri, majikan telah memberikan jaminan untuk menyerahkan mereka pada hari ini," katanya.

Selain itu, Mustafar berkata sebanyak 183 orang warga Korea Utara yang telah tinggal lebih masa menggunakan PLS juga menyerah diri.

Beliau berkata kemasukan warga Korea Utara tersebut ke Sarawak pada masa itu tidak memerlukan Visa Masuk dan pihak syarikat juga tidak pernah hadir ke Pejabat JIM Sarawak untuk mengemukakan permohonan Pas Kerja.

"Majikan juga telah mengesahkan tiada lagi warganegara Korea Utara yang telah tinggal lebih masa menggunakan PLS," katanya.-Bernama

JIM, Korea utara, serah diri

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan