suria

Dedah Laporan Audit 1MDB

SHAH ALAM: PAS berpendapat sudah tiba masanya laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didedah kepada umum.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia susulan persetujuan dicapai antara 1MDB dan International Petroleum Investment Company (IPIC) bagi penyelesaian melibatkan prosiding timbang tara di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London.

“Memandangkan 1MDB menyebut penyelesaian timbang tara ini sebahagian besar daripada pelan rasionalisasi 1MDB, sudah tiba masanya laporan audit 1MDB didedah kepada umum.

“Ini bagi rakyat memahami bagaimana pelan rasionalisasi dijayakan. Tiada apa lagi yang perlu dirahsiakan daripada laporan 1MDB itu,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya, Selasa.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim mempersoalkan penyelesaian antara 1MDB dan IPIC yang dilihat tidak menguntungkan 1MDB dan negara.

“IPIC mendapat hampir segala yang dituntutnya pada 2016. Kementerian Kewangan kini terdedah dengan pembayaran hutang berserta faedah sehingga mencecah AS$4.7 bilion.

“Ini termasuk AS$1.2 bilion yang dipinjam kepada 1MDB pada 2015 dan semua tanggungjawab semua faedah masa depan dan pembayaran wang pokok dua bon berjumlah AS$3.5 bilion yang akan matang pada 2022,”katanya.

Beliau berkata, timbul persoalan juga apabila 1MDB menyebut bahawa pengewangan unit dana pelaburan menjadi satu cabaran besar dalam mematuhi penyelesaian timbang tara antara 1MDB dan IPIC.

“Sekiranya 1MDB gagal mentunaikan unit dana pelaburannya, siapa yang bakal membayarnya? Apakah duit akan disedut dari rakyat lagi?,” soalnya.- Sinar Harian



PAS, 1MDB

Artikel Lain