MELAKA: Muhammad Wanndy Mohamed Jedi begitu terdesak untuk kekal dianggap sebagai pemimpin kanan operasi terkemuka kumpulan militan IS dari Malaysia dengan rangkaian pengganas sudah mula hilang kepercayaan terhadapnya. "Dia gagal menjalankan beberapa siri serangan di Malaysia seperi yang dirancang. Ia menaikkan kemarahan pemimpin kumpulan itu di Syria dan Iraq," kata sumber perisikan kepada The Star. Antara serangan melibatkan kumpulan militan IS di negara ini adalah pengeboman di kelab malam Movida yang terletak di Puchong pada Mei tahun lalu. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan ia merupakan serangan Is pertama di Malaysia. Serangan itu dipercayai dilakukan dengan arahan warga Malaysia, Muhammad Wanndy yang kini berpangkalan di Syria. Lapan maut dalam serangan itu. Pada bulan lalu, Khalid berkata Muhammad Wanndy sedang berusaha untuk melebarkan pengaruh IS di Malaysia. Menurut sumber, Muhammad Wanndy mempunyai masa yang terhad untuk cuba dan menyakinkan pemimpin kumpulan itu di Syria mengenai keupayaannya dalam mengendalikan serangan keganasan. "Dia diberi masa sehingga akhir tahun ini atau berdepan risiko statusnya sebagai pemimpin IS dari Malaysia dilucutkan," kata sumber itu. Sumber itu berkata susulan kegagalan tersebut, Muhammad Wanndy dikatakan akan melakukan apa saja untuk membuktikan keberaniannya dengan merancang serangan di beberapa lokasi sasaran di Malaysia. Muhammad Wanndy yang berasal dari Durian Tunggal, Melaka dan isterinya berusia 26 tahun berlepas ke Syria pada Januari 2016. Mereka dipercayai berada di Raqqa, Syria, kubu kuat militan IS. Untuk memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) sebagai pemimpin kanan operasi IS dari Malaysia, Muhammad Wanndy dikatakan menggunakan bantuan penggodam dalam kalangan pemimpin IS dari Syria untuk menembusi rangkaian media sosial di negara ini. "Dia telah berjanji kepada pemimpin IS bahawa dia dapat mencetuskan huru-hara di Malaysia dalam tempoh beberapa bulan akan datang," kata sumber itu. Dia mensasarkan individu yang mempunyai kecenderungan untuk membuat kenyataan berbaur perkauman atau mengkriti pemimpin menerusi laman Facebook. "Dia cuba berbuat baik dengan mereka dalam talian dan apabila mendapat maklum balas, dia akan mula mempengaruhi individu dengan menyebarkan propaganda IS," kata sumber itu lagi. Menurut sumber, Bukit Aman kini dalam keadaan bersiap sedia untuk berdepan sebarang kemungkinan. "Polis Malaysia tahu Muhammad Wanndy telah mewujudkan lebih 100 kumpulan dalam aplikasi WhatsApp yang anggotanya terdiri daripada pelajar di seluruh negara. "Kumpulan WhatsApp itu diuruskan oleh penggodam dari Syria," kata sumber. Jelas sumber itu lagi, Muhammad Wanndy berusaha untuk membawa lebih ramai rakyat Malaysia menyertainya di Syria dengan menjanjikan bayaran gaji bulanan. "Kira-kira 80% daripada individu yang berjaya dipengaruhinya terdiri daripada penagih dadah dan mereka yang suka menyendiri," katanya. Muhammad Wanndy difahamkan berdepan satu lagi tugas mencabar apabila terpaksa menghalang hampir 57 militan dari Malaysia untuk meninggalkan Syria. "Mereka hilang kepercayaan dan menolak wang ditawarkan darinya untuk kekal di sana," kata sumber itu.