PETALING JAYA: Hanya beberapa hari selepas pendedahan mengenai JJPTR dibuat, lebih banyak skim pelaburan forex dilihat bakal 'gulung tikar' dengan pelabur mengalami kerugian berbilion ringgit. Tiga skim itu - Change Your Life (CYL), Richway Global Venture dan BTC I-system dikatakan bakal menerima nasib sama selepas ahlinya gagal menerima 'keuntungan' mereka pada masa yang dijanjikan. Ahli-ahli Richway Global Venture, skim 'pelaburan' pertanian merangkap pelaburan forex yang bermula pada Mei 2016 mengadu bahawa mereka tidak dibayar bulan ini. Mereka mula menuduh pengasas skim 'menipu' mereka dengan nilai mencecah RM1.2 bilion. Pengasas berkenaan telah merayu kepada ahli-ahlinya untuk berhenti menuntut bayaran faedah yang dijanjikan, meyakinkan mereka bahawa dia tidak akan membawa lari wang ahli-ahlinya. "Jika anda begitu bimbang, mengapa dulu anda melabur? Ia soal menang atau kalah. Tolong beri saya sedikit masa untuk menyelesaikan masalah ini dan ini bukan masanya untuk saya melarikan diri dengan wang anda," tulis pengasas itu dalam bahasa Cina. Salah seorang pelabur yang meminjam wang daripada beberapa rakan dan bank untuk 'melabur' dalam skim ini adalah ibu tunggal, lapor China Press. "Saya fikir dapat bertahan selama setahun, sekurang-kurangnya sehingga anak saya sudah tidak menyusu dan saya dapat keluar bekerja. Saya tak tahu ia akan jadi seperti ini. Ini adalah skim 'gelap'," katanya di Facebook. BTC I-system, satu skim yang mendakwa membuat pelaburan dalam mata wang digital Bitcoin, juga mungkin berada dalam masalah apabila pelabur tidak lagi mendapat bayaran mereka. BTC I-system menawarkan pulangan yang lebih baik berbanding JJPTR yang telah pun menemui jalan kegagalan. Ia menjanjikan pulangan 30 peratus setiap 15 hari, kecuali hari Ahad, berdasarkan nilai Bitcoin pada hari pembayaran. Ini bermakna ahli-ahli boleh mendapatkan semula pelaburan mereka dalam tempoh kira-kira dua bulan jika nilai Bitcoin kekal seperti ketika mereka melabur. Walau bagaimanapun, skim ini kelihatan bermasalah hanya tujuh bulan selepas ia mula beroperasi pada September tahun lepas. Seorang pelabur yang bekerja sendiri, Tommy Tang, berkata awal bulan ini beliau telah berhenti menerima pembayaran untuk pelaburan RM3,000 yang dibuatnya. Tang, yang telah mendapat pulangan modal dan membuat keuntungan kerana telah melabur sejak September berkata beliau dapat merasakan sesuatu yang tidak kena apabila pembayaran mula lewat dibuat, sejak Februari. "Apabila beberapa ahli bertanya tentang pembayaran yang lewat dalam kumpulan WeChat, mereka disuruh bersabar. "Mereka yang baru sahaja melabur diberi jaminan bahawa mereka akan mendapat kembali modal pelaburan. "Awal bulan ini, kami semua disingkirkan dari kumpulan WeChat. Selepas itu kami tidak mendapat sebarang khabar mereka," kata Tang yang berusia 30-an. Beliau berkata syarikat itu, yang mendakwa didaftarkan di Vietnam telah menganjurkan beberapa seminar di pejabatnya di sini untuk menjual pelan dan mendapat lebih ramai ahli. "Segalanya nampak begitu 'jelas' apabila pentadbir WeChat menunjukkan carta harian nilai pasaran Bitcoin dalam ringgit. "Ia adalah wang mudah," katanya. Seorang suri rumah berusia 43 tahun yang melabur sebanyak AS$500 (RM2,170.50) dalam CYL berkata kakitangan syarikat itu tidak memberi jawapan apabila ditanya tentang wangnya. "Saya melabur menggunakan wang yang saya simpan sikit-sikit. Saya menyertai kerana mahu membantu keluarga, tetapi sekarang, semua wang saya lesap," katanya. Seorang lagi pelabur CYL, yang hanya mahu dikenali sebagai Yeoh, berkata beliau kecewa kerana syarikat itu telah gagal membayar pulangan yang dijanjikan sejak beberapa minggu lalu. "Saya rasa ramai pelabur lain pun sama. Ada juga yang merancang untuk buat laporan polis kerana syarikat itu tidak dapat memberikan kami hala tuju yang jelas. "Saya rasa syarikat itu akan 'bungkus' tidak lama lagi dan saya akan rugi," kata Yeoh. CYL, yang bermula pada November tahun lepas, menawarkan pakej pelaburan sebanyak AS$500 (RM2,170.50), AS$1,000 (RM4,341), AS$3,000 (RM13,023), AS$6,000 (RM26,046) dan AS$ 10,000 (RM43,410). Pelabur telah dijanjikan 7.5 peratus pulangan setiap minggu, bersamaan dengan 30 peratus sebulan. Sebuah video 10 saat, yang tersebar di media sosial, menunjukkan pelabur berkerumun di pejabat CYL, yang dipercayai di Pulau Pinang, berikutan cakap-cakap bahawa syarikat itu akan ditutup. Pemain 'permainan wang' Leon Hong mendakwa ramai yang melabur dalam skim ini tahu bahawa ia adalah satu 'penipuan' sejak awal. "Tetapi kami telah sentiasa diberitahu bahawa kami adalah antara yang 'perintis' dan syarikat tidak akan muflis begitu awal," katanya.