suria

Presiden PAS Kesal Agenda Islam Ditentang

ALOR SETAR: Muktamar Tahunan PAS kali ke-63 bermula secara rasmi pada pagi Sabtu, persidangan yang amat penting bagi parti Islam itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Muktamar bertemakan Sejahtera Bersama Islam berlangsung di Kompleks PAS Pusat di Kota Sarang Semut di sini, dimulakan dengan ucapan aluan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Dalam ucapannya, Takiyuddin berkata, persidangan kali ini penting bagi membincangkan perancangan menghadapi PRU14 yang dianggap amat getir dalam sejarah negara.

Sehubungan itu, beliau berharap para perwakilan PAS dapat memberi idea yang tuntas bagi menghadapi pihak lawan.

"Ada pihak menganggap kita sebagai pakatan yang kerdil tetapi perkara itu tidak akan menggentarkan kita," kata beliau.

Antara isu penting yang menjadi tumpuan pemerhati politik adalah tahaluf siyasi antara PAS dan PKR susulan kemelut yang tercetus antara kedua-dua parti itu sejak kebelakangan ini.

Majlis disusuli dengan ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyuarakan kekesalan terhadap tindakan segelintir parti yang menjadi 

penentang agenda memperjuangkan syiar Islam.

Jelasnya, pihak tersebut saling mencabar untuk menjadi paling lantang agenda Islam seolah-olah menjadi kebanggaan baharu di zaman ini.

"Malah ada pula dalam kalangan umat Islam yang terlalu teruja sehingga tidak sedar menjadi biduk di papan catur yang digunakan oleh mereka yang mempunyai agenda tidak baik terhadap umat Islam.

"Tindakan sebegini sekiranya berterusan, adalah ancaman terbesar kepada kebebasan hidup beragama yang dinikmati di Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan," katanya.

Antara isu penting yang menjadi tumpuan pemerhati politik adalah tahaluf siyasi antara PAS dan PKR susulan kemelut yang tercetus antara kedua-dua parti itu sejak 
kebelakangan ini.

Tiga komponen penting PAS iaitu Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat menyatakan sokongan penuh terhadap usul memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR. Tetapi keputusan berhubung usul itu hanya boleh ditentukan oleh Majlis Syura.

Selain itu, Rang Undang-Undang Persendirian yang bertujuan meminda Akta 355 Mahkamah Syariah yang perjuangkan PAS juga menjadi perhatian susulan tentangan daripada beberapa parti politik lain.

Sementara itu, Abdul Hadi menerusi ucapannya berkata, PAS akan meneruskan pendekatan dengan mengamalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang diperkenalkan sebelum ini.

Ujar beliau, pendekatan itu bukan sahaja lebih berkesan terutamanya dalam masyarakat Malaysia yang bencikan budaya keras, kasar, politiking melampau sehingga semua perkara dilihat dalam perspektif negatif dan penuh kebencian.

"Pendekatan ini juga menepati ciri muwajahah silmiyah yang kita amalkan, malah menepati sirah perjuangan Islam.

"Apabila mesej kita bawa menerusi PAS adalah bertujuan untuk menyelamatkan umat manusia bersama Islam, maka konsep Dakwah Bil Hikmah yang mengutamakan damai atau disebut sebagai Muwajahah Silmiyyah hendaklah diutamakan," katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain