KOTA TINGGI: Madrasah Tahfiz Al-Jauhar (MTAJ) tempat belajar Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi pertama kalinya tampil dalam satu kenyataan sekali gus merungkai segala pertanyaan orang ramai ekoran kejadian yang berlaku. Menerusi kenyataan dikeluarkan jemaah pengurusan di Facebook rasmi madrasah berkenaan dipetik berkata, seperti mana yang dipersoalkan orang ramai, pihak madrasah mengakui maklum tentang rekod jenayah lampau dimiliki pembantu warden berkenaan. Menurutnya, pembantu warden tersebut telah mengaku sendiri tentang sejarah lamanya setelah diterima berkerja di madrasah sekali gus membuatkan pihak madrasah memahaminya yang cuba bersikap jujur untuk membaiki kehidupan. "Kerana kami maklum, dia telah diberi parol dan dibebaskan awal kerana berkelakuan baik. "Rentetan daripada itu, kami berpendapat, andainya pengarah penjara mengakui beliau sedang berubah dan layak diberi kebebasan awal, apakah kami sebagai ahli masyarakat tidak boleh memberi peluang kedua untuknya. "Apakah pendirian anda semua tentang memberi peluang kepada seseorang untuk menjadi lebih baik? "Semoga kita semua terus diberi peluang untuk menjadi lebih baik dan berubah kearah yang lebih baik. Beliau telah menjalankan tugas dengan baik dan beliau bukan seorang ustaz. "Kami berani menyatakan komitmen beliau melebihi para ustaz di madrasah kearah berubah menjadi insan yang lebih baik. Kekurangan seorang manusia tidak sepatutnya memberhentikan dia terus menjadi manusia," kenyataan itu dipetik. Katanya, kenyataan itu bagaimanapun tidak sama sekali membela pembantu warden tersebut ketika dia memilih untuk mengambil tindakan terhadap pelajar dengan menggunakan getah paip. Jelasnya, kejadian yang berlaku (sebat) ia bukan seperti yang orang ramai gambarkan dan pihaknya mempunyai bukti kejadian dalam rakaman litar tertutup (CCTV) yang telah diserah pada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Dalam tulisan tersebut turut memaklumkan, kenyataan dikeluarkan itu sama sekali tidak bertujuan untuk mengganggu siasatan atau mengulas perkara-perkara yang mungkin memberi kesan kepada siasatan pihak berkuasa. Sebaliknya, tulisan itu dibuat kerana setelah hampir dua minggu madrasah menerima kecaman, tohmahan dan ugutan, serta begitu banyak tekanan diberi tanpa sebarang jawapan. Ekoran itu, atas rasa kebimbangan sekiranya tiada sebarang jawapan dari madrasah, ia akan terus menyebabkan orang ramai tertanya-tanya dan memungkinkan fitnah berleluasa. Kenyataan itu turut memaklumkan tulisan berkenaan tidak dapat memberi fokus yang banyak tentang sikap Allahyarham Thaqif, dakwaan penderaan, dan hal-hal yang mungkin mengganggu emosi keluarga Allahyarham. Ia berikutan kerana sedari awal pihak madrasah telah menjaga adab untuk sama sekali tidak mahu mengguris perasaan keluarga Allahyarham. Selain itu, tulisan berkenaan turut mengakui madrasah tersebut tidak didaftarkan dibawah Kementerian Pendidikan berikutan ia tidak disyaratkan namun madrasah sangat gembira untuk mendaftar dibawah kementerian apapun selagi ia boleh menambah baik sistem di madrasah tersebut. "Seperti yang ditularkan dan ada didalam dada akhbar tentang luahan arwah menggambarkan beliau sedang merasa perit semasa proses pembelajaran di MTAJ, ia agak sukar dijelaskan buat masa ini. "Bagaimanapun, terdapat enam keping lagi surat dari arwah yang mungkin boleh menjelaskan watak sebenar arwah yang telahpun diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. "Istilah yang digunakan mungkin tidak boleh menggambarkan hakikat sebenar kejadian. Sebagai contoh, bila sesorang pelajar menggambarkan dia dibuli, kita harus mendalami hakikatnya. Apakah buli yang kita faham? "Untuk hal ini, kita beri ruang untuk polis jalankan siasatan," katanya yang turut mengalu-alukan lawatan masyarakat ke madrasah tersebut. Jelasnya, MTAJ tidak mahu mendabik dada mengatakan tiada pelajar yang mungkin mengambil kesempatan terhadap pelajar lain, kerana ia berpotensi untuk berlaku dimana-mana sahaja pusat pengajian, namun, dalam konteks MTAJ, ia adalah terkawal. Tegasnya, MTAJ juga adalah sebuah madrasah tahfiz yang didirikan dengan bantuan ramai umat islam dan sama sekali tidak berteraskan keuntungan. Oleh yang demikian, apa jua bentuk sumbangan kewangan digunakan untuk melengkapkan fasiliti agar anak-anak MTAJ dapat belajar dengan serba serbi dan cukup. Sebelum ini kisah Mohamad Thaqif Amin yang dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru pada 19 April menjadi tular di media sosial selepas dia dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian kaki sejak dua minggu lepas dipercayai akibat dipukul oleh pembantu warden madrasahnya. Selepas kedua-dua belah kakinya dipotong, tangan kanan Mohamad Thaqif Amin pula dijangkiti kuman akibat darah beku dan dijadualkan dipotong dari jari hingga bawah siku, namun pembedahan ditangguhkan kerana jantung pelajar itu dilaporkan tidak stabil. Bagaimanapun, selepas lapan hari bertarung nyawa, akhirnya Allahyarham Mohamad Thaqif Amin, 11, meninggal dunia pada 2.05 petang pada 26 April lalu ketika sedang dalam rawatan di HSI.- Sinar Harian