PETALING JAYA: George Town menyertai beberapa bandar utama lain terkemuka di dunia yang mempunyai seni lukisan jalanan tersenarai dalam buku Street Art, Lonely Planet. Lukisan mural di dinding dan jalanan yang berwarna-warni di bandaraya George Town menjadikan ia sebagai daya tarikan pelancong ke negeri itu. Bandaraya itu mendapat pengiktirafan sebagai salah sebuah lokasi yang kaya dengan seni jalanan selain New York, London, Barcelona, Berlin, Paris, Melbourne dan San Francisco. Buku Street Art yang meliputi 42 bandaraya di seluruh dunia menyenaraikan George Town sebagai satu-satunya destinasi di Asia. Buku tersebut turut menonjolkan lukisan mural jalanan oleh pelukis Lithuania, Ernest Zacharevic, Julia Volchkova (Rusia), Thomas Powell (Britain) dan Addison Karl (Jerman). Pelukis tempatan seperti Fuazan Fuad dan Artists For Stray Animals turut disebut dalam buku itu. Untuk melihat sendiri dengan lebih dekat lukisan mural karya pelukis jalanan, pengunjung dinasihatkan supaya bermula di Lebuh Armenian, Lorong Stewart, Lebuh Muntri, Lebuh Ah Quee, Lebuh Chulia, dan Pusat Seni Depot Bas Hin. "Buku ini sebagai titik permulaan kepada perjalanan anda yang mengetengahkan pilihan beberapa bandar utama di seluruh dunia untuk menyelami karya seni jalanan hari ini dan menyediakan petunjuk kepada lokasi seni jalanan utama setiap bandar untuk diterokai," kata Ed Bartlett yang menyusun buku Street Art. Bartlett yang berpangkalan di London merupakan kurator bebas dan pengasas The Future Tense, satu inisiatif seni yang mengadakan pertunjukan dan pameran untuk mencungkil bakat baru.