suria

Pelajar Lemas: Aktiviti Air Tiada Dalam Kertas Kerja Program

Lokasi tiga sekawan ditemui lemas.

KOTA KINABALU: Aktiviti melibatkan air yang mengakibatkan tiga pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan, lemas ketika menyertai kem perkhemahan di sebuah resort di Mambakut dekat sini pagi Sabtu, tidak termasuk dalam kertas kerja program berkenaan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Maimunah Suhaibul berkata Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Penampang tidak memaklumkan kepada pihak jabatan mengenai kewujudan laluan takungan air dalam aktiviti pada program itu.

"Saya masih menunggu laporan penuh daripada PPD Penampang. Perkhemahan itu diluluskan oleh PPD Penampang dan program tersebut tidak sepatutnya melibatkan aktiviti air.

"Kita tidak dimaklumkan oleh PPD Penampang mengenai aktiviti air itu. Bagaimanapun, kita akan menunggu laporan penuh dan berharap ibu bapa atau penjaga mangsa bersabar dengan kemalangan yang menimpa itu," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Beliau berkata pihaknya juga sudah membuat laporan kepada Kementerian Pendidikan berhubung insiden itu.

Maimunah berkata program perkhemahan yang sepatutnya berlangsung dari 28 hingga 30 April ini, dibatalkan serta merta pada Sabtu berikutan kejadian tersebut.

"Program disertai 119 pelajar berusia 16 dan 17 tahun itu merupakan sebuah kem pembangunan jati diri," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, mangsa Hafiz Hamizan Rahman, 16, Daniel Norman, 16, dan Khuzaimi Zakaran, 17, ditemukan guru pengiring dalam keadaan tidak sedarkan diri di satu laluan ''jungle trekking'' yang digenangi air di resort berkenaan. - BERNAMA

SMK Putatan, lemas

Artikel Lain