suria

Pelajar MRSM Taiping Cuti Lebih Lama

Pelajar MRSM Taiping dibenarkan bercuti lebih panjang pada sesi cuti persekolahan kali ini. - Gambar hiasan

PETALING JAYA: Seramai 800 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping, Perak berpeluang menjalani ibadah puasa bersama keluarga tercinta lebih lama pada Ramadan ini apabila dibenarkan bercuti hampir sebulan bermula Sabtu ini.

Pengarah Bahagian Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara), Kamaruzaman Jaffar memberitahu mStar Online, kebenaran bercuti untuk tempoh yang lebih panjang itu dibuat berikutan kerja-kerja membaik pulih terpaksa dilaksanakan di bangunan kediaman termasuk asrama MRSM tersebut.

"Mereka dibenarkan bercuti kerana kita tidak mahu kerja-kerja membaik pulih itu mengganggu urusan harian mereka nanti.

"Namun, proses pengajaran dan pembelajaran (PnP) tidak terganggu kerana anjakan cuti akan dilakukan kemudian," jelasnya ketika dihubungi pada Jumaat.

Jelasnya, MRSM Taiping adalah antara MRSM terawal yang dibina dan usianya mencecah 35 tahun.

Sehubungan itu, katanya, terdapat pelbagai infrastruktur di sekitar kawasan maktab itu yang perlu diselenggara dengan segera.

"Penaiktarafan ini bertujuan untuk memberi keselesaan bukan sahaja untuk pelajar, malah kepada ibu bapa yang datang melawat anak-anak mereka dan warga kerja MRSM Taiping.

"Penutupan sementara ini akan bermula pada 27 Mei hingga 20 Jun ini," ujarnya.

Menurut takwim persekolahan 2017, tempoh cuti persekolahan bagi semua sekolah di Malaysia adalah selama dua minggu iaitu bermula 26 Mei sehingga 11 Jun, bergantung kepada zon masing-masing.

MRSM Taiping merupakan antara 53 MRSM di Malaysia yang menempatkan pelajar cemerlang dari seluruh negara.


MRSM Taiping, cuti sekolah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

13 Motosikal Hangus

Artikel Lain