suria

22,000 Asnaf Terima Zakat Setiap Bulan

PUTRAJAYA: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mendepositkan bayaran zakat kepada kira-kira 22,000 asnaf di Kuala Lumpur pada setiap bulan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Katanya bayaran itu tidak termasuk bayaran ''one off'' atau sekali sahaja kepada mereka yang terpilih untuk 28 skim bayaran seperti untuk pendidikan, biasiswa dan pakaian sekolah.

"Ini semua adalah hasil kutipan zakat daripada orang ramai dan pelbagai syarikat yang kemudian diagihkan semula kepada mereka yang memerlukan," katanya pada majlis penyerahan zakat perniagaan Permodalan Nasional Bhd (PNB) kepada MAIWP Kuala Lumpur di sini Jumaat.

PNB membuat bayaran zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2013 hingga 2016 berjumlah RM17.2 juta, dengan cek zakat perniagaan itu disampaikan oleh Presiden and Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar kepada Jamil Khir bagi pihak MAIWP.

Abdul Wahid dalam pada itu berkata pembayaran zakat oleh PNB dikira mengikut haul dan nisab yang sudah ditetapkan.

"Zakat perniagaan oleh PNB ini tidak meliputi agihan pendapatan untuk pemegang akaun unit amanah yang melabur dalam tabung yang dikendalikan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

"Pemegang akaun dinasihatkan melunaskan sendiri zakat bagi pelaburan dalam setiap unit amanah yang berkenaan," katanya.

Abdul Wahid berkata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah antara negeri terawal yang meletakkan hukum pelaburan yang dijalankan PNB dalam ASNB adalah harus.

"Keputusan yang sama ini kemudian dari semasa ke semasa diikuti oleh negeri-negeri lain dan yang terbaru adalah di Selangor dan kini hanya tinggal pihak berkuasa berkaitan agama di Pulau Pinang yang masih belum menerima keputusan yang sama," katanya.

Katanya pihak PNB akan terus berusaha bagi memberi penerangan kepada jawatankuasa fatwa di Pulau Pinang mengenai hal ehwal pelaburan yang dilakukan oleh institusi itu.

"Kami masih berharap akan mendapat keputusan terbaik dari Pulau Pinang daripada penerangan yang diberikan," katanya. - BERNAMA

zakat, MAIWP

Artikel Sebelum

Wang Tulen Atau Palsu?

Artikel Berikut

Artikel Lain