suria

Kes Bunuh Jong-Nam Ke Mahkamah Tinggi Shah Alam

-fotoAFP

SEPANG: Kes dua wanita asing yang didakwa membunuh Kim Chol, atau Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Hakim Mahkamah Sesyen Harith Sham Mohamed Yasin, yang bertindak sebagai Majistret membenarkan permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Iskandar Ahmad untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi perbicaraan.

Tiada tarikh ditetapkan hari ini kerana ia akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi.

Warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, didakwa dengan empat orang lagi yang masih bebas, membunuh Kim Chol, 45, di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) kira-kira 9 pagi pada 13 Februari lepas.

Kedua-duanya didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.

Pengakuan mereka akan direkodkan ketika sebutan kes di Mahkamah Tinggi kerana hukuman mati adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah itu.

Pada 13 Februari lepas, Jong-nam berada di KLIA2 untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila didekati dua wanita yang tiba-tiba menyapu mukanya dengan cecair toksik yang kemudian dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

Jong-nam yang memiliki pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya. Beliau berada di Malaysia sejak 6 Feb.

-Bernama

Artikel Sebelum

'Dr Ganja' Ditahan

Artikel Berikut

Udang Palsu Masuk KL?

Artikel Lain