GUA MUSANG: Seorang pemandu sebuah bas ekspres cedera di muka, manakala 14 penumpangnya terselamat apabila bas itu terbabas ke dalam gaung selepas berlanggar dengan sebuah treler di kilometer 27 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, Khamis. Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Rajab Ahad Ismail berkata, kejadian kira-kira 1 pagi itu berlaku ketika bas tersebut dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. "Bas itu dipercayai terbabas memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah treler yang datang dari arah bertentangan sebelum hilang kawalan dan terbabas ke gaung sedalam 10 meter di sebelah kiri jalan," katanya kepada pemberita di sini, Khamis. Pemandu bas dari Jeli itu, Nik Hassan Mahmud, 47, menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) dan pemandu treler bersama kelindannya tidak mengalami sebarang kecederaan. Rajab Ahad berkata kejadian itu turut membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki enam beranak yang juga dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. "MPV itu berada di belakang bas berkenaan turut melanggar treler yang sama, tetapi mereka semua (enam beranak) terselamat," katanya. Lalu lintas kawasan kejadian masih dikawal bagi mengelakkan berlaku kesesakan sebelum kerja menarik kenderaan terbabit dilakukan, katanya. - BERNAMA