suria

Kami Terharu Keikhlasan Tun M - DAP

SEGAMBUT: Ahli akar umbi DAP sudah boleh menerima dan mula memberi sokongan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, sebelum ini penyokong mahu pun pengundi DAP meragui keikhlasan Mahathir ketika muncul memeterai Deklarasi Rakyat hampir setahun lalu.

“Kita tengok, seorang datuk yang begitu tua (Mahathir), umur pun sudah 92 tahun. Tetapi masih rajin bertungkus-lumus, ‘lari’ sana sini, masuk Felda, masuk kampung, pergi perhimpunan dan beri ceramah.

“Jadi kami rasa terharu dan tertarik dengan keikhlasan beliau,” katanya selepas sidang media di pejabatnya, Jumaat.

Tambah Lip Eng, kenyataan Pengerusi Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bahawa dia sudah insaf membuatkan ahli dan penyokong DAP yang menentang Mahathir sebelum ini, mula berubah dan boleh menilai mana yang betul dan sebaliknya.

“Tidak senang untuk seorang warga emas seusia Mahathir ke sana sini. Walaupun orang kata BN tetap akan menang (PRU14).

“Tindakan Mahathir itu, bukan wayang lagi. Dia betul-betul ikhlas dalam perjuangan bersama Pakatan Harapan,” katanya.

Namun, ketika ditanya mengenai kesudian Mahathir mempertimbangkan semula untuk menjadi perdana menteri, Lip Eng tetap dengan keputusan yang telah di capai pimpinan Pakatan Harapan.

“Calon perdana menteri untuk Pakatan Harapan tetap Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kita tetap dengan pendirian pucuk pimpinan DAP. Tetap pilih Anwar,” katanya.

Mahathir sebelum ini bersedia mempertimbangkan untuk memegang semula jawatan perdana menteri jika terdapat cadangan sedemikian daripada Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, tegas Mahathir, buat masa ini beliau tidak berminat dengan jawatan tersebut. Namun, beliau bersedia menjadi penasihat sekiranya Pakatan Harapan menang PRU14 dan berjaya membentuk kerajaan.

Dalam perkembangan sama, Lip Eng mencabar Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa untuk bertanding di kawasan Cina bagi membuktikan kata-katanya bahawa DAP sebenarnya perosak kaum itu di negara ini.

“Saya rasa beliau perlu uji kenyataannya dengan bertanding di kawasan masyarakat Cina menentang calon DAP pada PRU14. Biar keputusan pilihan raya tentukan sama ada dia sebenarnya, batu api atau pembohong,” katanya. -Sinar Harian

Tun M, Lim Lip Eng

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain