suria

Kejam! Bayi Dibuang Tepi Gerai Cendol

Foto twitter @bernamadotcom

KOTA KINABALU: Seorang bayi lelaki, dipercayai baharu dilahirkan, dengan bahagian mulut dan tepi matanya menunjukkan kesan gigitan semut dijumpai ditinggalkan berhampiran sebuah gerai cendol dan cucur udang di Jalan Salut-Kelapa Bakar, dekat sini tengah hari Isnin.

Menurut petugas yang merawat bayi berkenaan di Hospital Tuaran, bayi itu telah dijangkiti kuman akibat ditinggalkan di kawasan kotor dan dalam panas matahari.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M.Chandra dalam kenyataan berkata, bayi berkenaan ditemukan oleh seorang peniaga gerai cendol di dalam sebuah beg tidak berzip dengan dibaluti kain, kira-kira 12 tengah hari ketika dia hendak memulakan perniagaannya.

"Bila mendapati beg tersebut bergerak-gerak seperti ada sesuatu di dalamnya. Dia terus memeriksa dan menemukan bayi itu dan terus menghubungi polis," kata Chandra.

Peniaga itu segera mengalihkan bayi berkenaan ke tempat lebih teduh.  

Pegawai perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan bayi berkenaan baharu sahaja dilahirkan, katanya.   

"Ketika djumpai, bayi dalam keadaan lemah dan sudah tidak bersuara lagi kerana tiada bunyi tangisan...namun bayi berkenaan disahkan dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Tuaran," katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan sesiapa mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Nur Shajida Shara di talian 017-7240402. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain