suria

Lima Pemuda Cina Dipuji Netizen Gara-Gara...

PETALING JAYA: Lima pemuda Cina mendapat pujian netizen kerana sanggup menunggu waktu berbuka puasa untuk menikmati hidangan di sebuah restoran bagi menghormati umat Islam yang menjalani ibadah di bulan Ramadan itu.

Insiden yang dipercayai berlaku di Ayer Keroh, Melaka itu dikongsikan seorang pengguna Facebook, Mas Intan yang turut memuat naik sekeping gambar pada Ahad lalu.

“Ada apa pada gambar ni? Sis beri pujian pada lima remaja lelaki berbangsa Cina tersebut.. sama-sama beratur di hadapan sis waktu order (menempah) makanan.

“Setelah dapat makanan, mereka tak sentuh langsung makanan tersebut sehinggalah azan berkumandang. Mereka pusing-pusing (kepala) perhatikan sekeliling nak pastikan sama ada sudah boleh makan atau belum,” katanya.

Menurut Mas Intan, kelima-lima pemuda Cina terbabit hanya menjamu makanan mereka sebaik sahaja semua pelanggan beragama Islam di dalam restoran yang sama menjamah juadah iftar.

“Tahniah untuk kamu berlima, terima kasih kerana menghormati kami umat Islam,” katanya berhubung ‘posting’ berkenaan yang sehingga kini dikongsikan lebih 300 kali dan mendapat lebih 3,000 tanda suka (like).

Beberapa pengikut Facebook Mas Intan turut menyambut baik tindakan lima pemuda Cina tersebut dengan seorang pengguna laman sosial itu, Norfarahidayu Mohd Yousof berkata: “Hormat-menghormati adalah amalan kita... 1Malaysia.”

Seorang pengguna Facebook, Zack Zanariah turut memuji sambil berkata: “Hormat adalah perkataan terbaik, mereka menunjukkan contoh yang baik kepada yang lain.”

Malah kata Wanda Nazri, walaupun lima pemuda Cina terbabit makan terlebih dahulu, mereka masih tidak dianggap tidak menghormati umat Islam.

“Tetapi inilah keindahan (negara) terdiri daripada pelbagai bangsa. Mereka hormat untuk menunggu waktu azan,” tambah Wanda Nazri.

Artikel Sebelum

Kecoh Ketam Raja RM9,636

Artikel Berikut

Artikel Lain