suria

Duta Malaysia Di Chile Diancam Penjenayah

DUTA Malaysia di Chile, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya berdepan situasi cemas apabila sekumpulan penjenayah memecah masuk kediamannya di Las Flores Avenue, Las Condes, Chile.

Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pada jam 11.15 malam Ahad waktu tempatan (11.15 pagi Isnin waktu Malaysia) itu, lima penjenayah itu turut memberi amaran supaya mematuhi arahan mereka.

Perompak berkenaan dilaporkan memukul kepala duta itu dan mengugut untuk membunuh anak-anaknya dan memotong telinga isterinya jika beliau tidak memberikan kerjasama.

"Perompak itu mengambil semua barang kemas milik anak dan isteri selain meminta sejumlah wang.

"Jika saya enggan berikan, mereka mengancam untuk membunuh anak-anak saya," katanya kepada portal Chile, Biobiochile.cl, yang dipetik sebuah akhbar harian perdana.

Lima individu yang dipercayai warga tempatan itu dikatakan memasuki rumah berkenaan sebelum mengikat tangan mangsa, isteri serta lima anak mereka.

Penjenayah itu mencuri sejumlah barang kemas dan wang tunai diplomat berkenaan.

Mohamad Rameez yang ditemui media tempatan beberapa jam selepas kejadian, mengesahkan bahawa dirinya dipukul di kepala sebelum tangannya diikat.

Beliau berkata, kejadian menyebabkan mereka sekeluarga trauma namun bersyukur kerana terselamat.

Sementara itu, polis Chile sudah menyiasat tempat kejadian termasuk mengambil kesan cap jari serta memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman itu.

Dalam pada itu, sumber Wisma Putra ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan duta dan keluarganya selamat.

Bagaimanapun, Mohamad Rameez tidak dapat dihubungi untuk mengulas kejadian itu.

Chile, Rameez

Artikel Sebelum

Pengguna Celcom Berang

Artikel Berikut

Rezeki Periuk Kera

Artikel Lain