suria

Kisah Dr Maza & Makcik Penjual Rebung

Dr Maza (kanan) melihat bungkusan rebung yang dijual seorang makcik di kaki lima bangunan kedai di Kangar. Foto Facebook Dr Maza

PETALING JAYA: Seorang wanita warga tua kelihatan bersimpuh sambil menjual rebung dan beberapa jenis makanan di kaki lima bangunan kedai di Kangar, Perlis walaupun jam menunjukkan hampir tengah malam.

Pelbagai persoalan yang timbul dalam diri Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyebabkan beliau berkongsi kisah makcik ini di laman Facebooknya pada awal pagi Selasa.

Menurut makcik yang tinggal di pekan kecil Chuping, dia menerima zakat setiap bulan termasuk bantuan daripada badan kebajikan.

Namun wanita ini terus gigih berniaga tanpa mengenal penat kerana mempunyai tanggungjawab terhadap tiga anak yang merupakan orang kelainan upaya (OKU).

Sekarung rebung dijualnya dimasukkan dalam bungkusan-bungkusan kecil, nampaknya begitu banyak dan berat, dan ketika ditanya Mohd Asri dari mana dia memperoleh rebung itu, makcik berkenaan menjawab: “Makcik cari dan potong sendiri dari hutan.” 

Lebih menyedihkan apabila setiap rebung dibawa menggunakan motosikalnya yang uzur, dan pada hari sebelumnya tayar motosikalnya pecah menyebabkan makcik itu terpaksa menolaknya sehingga ke rumah.

"Dari jam 12 malam, jam 4 pagi baru sampai rumah. Amat sedih saya mendengar," ujar Mohd Asri atau lebih dikenali sebagai Dr Maza.

Kisah makcik ini mengundang kesedihan Mufti Perlis tetapi kagum dengan kesungguhan wanita itu yang berusaha tanpa mempunyai sikap meminta-minta.

“Itulah kemuliaan dan ibadah yang hebat,” kata Dr Maza yang kemudian menghulurkan sumbangan kepada makcik itu dan membeli kesemua rebung yang dijualnya untuk diberikan kepada masjid untuk dimasak sebagai menu berbuka puasa.

Kisah yang disampaikan Mufti Perlis di Facebook itu turut dikongsi lebih 7,000 kali dan mendapat lebih 34,000 tanda suka (like).

Sebelum beredar, beliau berpesan kepada makcik itu supaya pergi ke kaunter pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips) untuk memohon zakat tambahan.

Menurut Dr Maza, insan seperti makcik tersebut wajar dibantu kerana kuat berusaha mencari sumber rezeki tanpa duduk saja menunggu zakat setiap bulan semata-mata.

“Orang sepertinya yang kuat berusaha tidak duduk saja layak ditambah peruntukan bantuan. InsyaAllah, Maips akan menambahkan bantuan untuknya.

“Semoga Allah memberikan rezeki kepadanya yang banyak. Melihat kepada kesusahan dan kesungguhan orang yang seperti ini, menjadikan kita insaf betapa kita tidak cukup bersyukur kepada Allah di atas segala kurniaanNya dan betapa sedikitnya ujian yang kita terima,” ujar Dr Maza.

Artikel Sebelum

Rezeki Periuk Kera

Artikel Berikut

Artikel Lain