PETALING JAYA: Ini bukan ikat tepi 30 sen, tapi ikat tocang RM7. Harganya untuk bungkusan teh ais yang sangat besar, sampai ada yang lagi besar dari muka pelanggan di sebuah gerai di Batu 13, Jalan Kuala Nerang, Pokok Sena, Kedah. “Tu dia Teh Ais Gajah baq hang. Tengah panaih lit-lit kena hat ni sebungkuih kenyang seminggu! Menyandaq teruih,” demikian keterangan beberapa gambar gadis memegang bungkusan teh ais bersaiz ‘jumbo’ yang kini tular di media sosial. Pengusaha ‘Teh Ais Gajah’, Nurayu Md Yusof, 25, berkata, jualan teh ais bersaiz sangat besar itu sebenarnya telah dijual sejak tiga tahun lalu di gerai yang diusahakan bersama kakaknya, Siti Hajar, 35, dan adik perempuan, Nuraida, 20. Namun kata anak ketujuh daripada sembilan beradik ini, ia baru sahaja tular selepas rakannya memuat naik gambar swafoto bersama teh ais berkenaan di laman sosial. Gambar 'Teh Ais Gajah' yang tular di media sosial. Tambahnya, idea menjual bungkusan air teh ais sebesar itu berikutan lokasi gerai yang diusahakan sejak 2009 itu berdekatan dengan gelanggang futsal. “Mereka yang main futsal selalu beli teh ais bungkus untuk minum di gelanggang. Jumlah mereka satu pasukan ramai, jadi leceh (payah) nak beli dan bawa setiap satu seorang. “Jadi, kami jual dalam bungkusan sangat besar. Nak bungkus pun tak boleh ikat tepi, sebab berat sangat. Kena ikat 'mati' (tengah) untuk bungkus bawa balik atau ikat tocang kalau nak minum terus dari plastik,” katanya ketika dihubungi mStar Online. Nurayu berkata, mereka turut menjual minuman lain dalam bungkusan bersaiz ‘gajah’ seperti milo ais dan nescafe ais pada harga berlainan. Namun katanya, teh ais lebih dikenali dalam kalangan penduduk tempatan di Kedah malah 80 peratus daripada pelanggannya membeli air tersebut. “Alhamdulillah, sambutan menggalakkan terutama dalam kalangan pembeli yang berkeluarga. Ada seorang pelanggan tu beli sampai 30 bungkus ‘Teh Ais Gajah’ untuk kendurinya,” katanya sambil menambah bahawa sebungkus teh ais bersaiz kecil berharga RM1.30. Sebungkus teh ais besar yang dikatakan boleh diminum sehingga lapan orang. Selain itu, gerai mereka yang dibuka setiap hari kecuali Jumaat turut menjual makanan masakan Melayu, burger dan kuih-muih termasuk cucur udang yang popular dengan nama ‘Cucoq Udang Dua Beqadik’. Dia bagaimanapun menafikan komen segelintir netizen yang mendakwa kandungan teh ais tersebut lebih banyak ais berbanding airnya. “Tak benar, sebab ‘Teh Ais Gajah’ ni banyak air sampai boleh diminum sampai lapan orang. Cuba kira, kalau satu bungkusan kecil yang kami jual RM1.30 dan darab dengan lapan, jumlahnya jadi RM10.40. Kan dah ada penjimatan di situ,” kata Nurayu.