suria

Pekerja Syarikat Telekomunikasi 'Tersangkut'

Gambar hiasan sarang tebuan.

KUALA LIPIS: Seorang pekerja syarikat telekomunikasi 'tersangkut' pada ketinggian 33 meter akibat 'gangguan' sekawan tebuan yang membuat sarang di tiang pencawang yang dipanjatnya itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lipis Penolong Penguasa Bomba Haslizan Ramli berkata kejadian berlaku semasa mangsa dan rakannya mahu melakukan kerja penyelenggaraan pencawang di Pagar Sesak di sini pada pukul 2.15 petang pada Jumaat.

Katanya, mangsa yang berusia 23 tahun itu mula memanjat tiang pencawang itu terlebih dahulu diikuti rakannya yang berusia 22 tahun, sebelum menemui sarang tebuan itu pada ketinggian 20 meter.

"Rakan mangsa disengat oleh tebuan semasa berada berdekatan sarang serangga itu menyebabkan beliau memilih untuk turun bagi menyelamatkan diri.Bagaimanapun, mangsa memilih untuk memanjat lebih tinggi daripada sarang tebuan itu untuk mengelak serangan serangga itu, namun akhirnya tidak dapat turun," katanya kepada pemberita. 

Haslizan menambah pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.30 petang dan seorang pegawai bersama lima anggota bergegas ke tempat kejadian dengan membawa dua buah jentera bagi operasi menyelamat.

"Sebaik tiba di kawasan pencawang pada jam 3.06 petang, bomba berjaya membawa turun mangsa dengan menggunakan  peralatan baju kalis serangga, abah-abah dan racun serangga," katanya.

Haslizan menambah pihak bomba juga memusnahkan sarang tebuan itu sebelum dapat membawa mangsa turun manakala mangsa yang disengat tebuan dibawa ke Hospital Lipis bagi mendapatkan rawatan.-Bernama

Tebuan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain