PETALING JAYA: Bukan mudah untuk meminta atau menawarkan bantuan ketika dalam kesusahan terutama jika ia melibatkan individu yang tidak dikenali. Begitulah yang dialami seorang pemuda apabila kisahnya tular kerana membantu menumpangkan beberapa orang tidak dikenali yang sebelum itu terpaksa berjalan kaki berpuluh kilometer untuk pulang ke rumah. Mohd Danial Muhamad Fakih, 25, berkata, telefonnya pernah kehabisan bateri dan ketika itu sedang menunggu panggilan untuk bertemu seseorang. Dia bertanya dari seorang ke seorang yang lain untuk meminjam telefon bagi membuat panggilan, namun tiada yang sudi membantu walaupun ditawarkan bayaran. “Motosikal saya juga pernah kehabisan minyak dan tidak banyak wang masa tu. Stesen minyak pula jauh, jadi saya minta bantuan daripada mereka yang lalu-lalang tapi tak ada seorang pun berhenti menyebabkan saya terpaksa berjalan sejauh hampir 10 kilometer untuk mengisi minyak. “Ini adalah pengalaman saya yang sukar mendapatkan bantuan daripada orang yang tidak dikenali, jadi bila ada orang lain mengalami kesusahan, saya tahu apa yang mereka rasa,” katanya yang lebih dikenali sebagai Radin ketika dihubungi mStar Online. Radin berkata, kisah yang dikongsikan di laman sosial itu disebabkan jarak perjalanan orang yang ditumpangkannya begitu jauh dan jika terpaksa berjalan kaki, seperti dari Damansara ke Kajang, dan dari Pudu, Kuala Lumpur ke Seremban. “Kebanyakan yang saya bantu hanya di sekitar Lembah Klang, dan saya bantu hantarkan mereka dalam jarak beberapa kilometer sahaja,” katanya yang mengusahakan syarikat ejen pengembaraan dan perkhidmatan menyewa kereta. Sementara itu, Radin turut berkongsi pengalamannya mengenai seorang yang ditumpangkannya itu dalam keadaan lapar, dan dia hanya dapat menawarkan minuman. Kata Radin: “Jika saya ada RM5 atau RM10, saya akan bawa awak untuk makan. Tapi maaf sangat-sangat kerana ini sajalah wang yang ada. Cukup-cukup untuk beli petrol, sebab semua wang dah dibelanjakan untuk majlis kahwin saya.” Bagaimanapun lelaki yang dibantu Radin memahami keadaannya, malah bersyukur kerana masih ada insan yang sudi menawarkan pertolongan kerana lelaki berkenaan sebelum itu tidak dipedulikan apabila meminta bantuan orang lain. Menurut Radin, bukan mudah untuk menawarkan bantuan kepada orang yang tidak dikenali kerana ia memerlukan keberanian terutama apabila menegur mereka. “Ada seorang makcik tua yang saya jumpa di tepi jalan dan bila saya tawar untuk menghantarnya ke stesen KTM, dia terkejut dan tanya saya ‘Encik ni nak culik saya ke?’ dan saya hanya gelak bila diajukan soalan sebegitu tapi kemudian memberitahunya dengan baik yang saya hanya mahu membantunya. “Bagi saya, makcik tu tak salah sebab dia mungkin curiga dan saya cuba untuk meyakinkannya menggunakan pendekatan psikologi bahawa niat saya baik untuk membantu dia,” katanya. Radin berkata, dia turut diajukan soalan mengenai sekiranya orang yang dibantunya itu mempunyai niat tidak baik seperti mahu menyamun dan merompaknya. Bagaimanapun jawabnya: “Apa yang saya sering amalkan adalah berdoa agar setiap perjalanan saya mendapat perlindungan Allah, dan memohon supaya setiap orang yang nak dibantu itu adalah mereka yang benar-benar memerlukan pertolongan dan bukannya manusia yang bertopengkan syaitan untuk menganiaya saya.”