suria

TH Selesai 178 Jemaah Terkandas

(Dari kiri) Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Badlisyah Abdul Ghani; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah dan Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji TH, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman pada sidang media jemaah haji terkandas di Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya, petang Jumaat.

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) telah menyelesaikan seramai 178 daripada 229 bakal jemaah haji  yang terkandas kerana masalah visa sejak penerbangan pertama sehingga kini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah berkata, baki bakal jemaah haji yang berhadapan dengan masalah visa adalah 51 orang.

Katanya, cabaran pengeluaran visa disebabkan sistem permohonan untuk meluluskan visa setiap jemaah haji yang mempunyai 12 proses termasuk butiran peribadi termasuk perjanjian tempat penginapan, penerbangan, pengangkutan dan sajian serta butiran bayaran kepada pihak berkuasa Arab Saudi.

"Kelewatan pengeluaran visa disebabkan permohonan terlalu tinggi. Kita (Malaysia) dapat kenaikan kuota kepada 30,200 jemaah tahun ini.

"Bukan kita sahaja, tapi saya difahamkan seluruh dunia pun mendapat kenaikan kuota. Bila permohonan terlalu tinggi, sistem tersebut terpaksa mengendalikan jutaan permohonan dalam masa yang singkat," katanya pada sidang media di Kompleks TH di Kelana Jaya di sini, lewat  petang Jumaat.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Badlisyah Abdul Ghani dan Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji TH, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Johan berkata, perbincangan telah diadakan antara TH dan Kedutaan Arab Saudi berkaitan cara terbaik untuk menyelesaikan cabaran itu.

Tambahnya, wakil kedutaan memaklumkan usaha-usaha yang telah diambil oleh mereka seperti penambahan kakitangan untuk mempertingkatkan proses berkaitan visa.

"Kami memberi jaminan sebaik sahaja masalah visa diselesaikan, jemaah haji yang terkandas akan diterbangkan ke Tanah Suci musim ini," katanya.

Ketika ditanya sama ada TH akan menambah penerbangan susulan peningkatan jumlah bakal jemaah haji 'tercicir' kerana ada 366 ahli keluarga yang menunggu mereka yang berhadapan isu kelewatan visa ketika ini, Johan berkata, mereka tidak menolak kemungkinan itu.

Johan berkata, TH menyediakan penginapan serta makan dan minum di Kompleks TH, Kelana Jaya dan hotel-hotel berdekatan yang akan ditanggung TH, bagi jemaah bakal haji (BH) atau bermasalah visa (VH) yang memerlukan.

"Satu bilik maklumat BH/VH bagi menyalurkan informasi terkini kepada para jemaah yang terlibat telah disediakan di bilik Seri Setia, Tingkat 1, Kompleks TH, Kelana Jaya yang beroperasi 24 jam," katanya sambil menambah talian khas 03-78736297 atau 013-8068099.

Sehubungan itu, beliau memohon agar semua pihak terus memberi keyakinan kepada TH untuk menyelesaikan isu visa membabitkan bakal jemaah.

"Untuk rekod, selama 54 tahun beroperasi, TH belum pernah gagal membawa jemaah haji ke Tanah Suci," kata Johan.

Setakat Jumaat, sebanyak 47 penerbangan membawa 16,974 bakal jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci, serta baki 63 penerbangan dengan yang terakhir dijangka pada 26 Ogos depan.

Terdahulu, mStar Online melaporkan lebih 270 jemaah haji terkandas kerana masalah visa sejak Khamis malam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika dihubungi mStar Online berkata, jumlah itu termasuk keluarga yang bersama jemaah berdepan dengan masalah visa.

Tabung Haji

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Wanita Maut Di LPT

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan