suria

'Berani Mati' Mekap Guna Garfu!

PETALING JAYA: Jangan pandang rendah keupayaan garfu kerana ia sebenarnya mampu mencantikkan wajah seseorang!

Perkara ini telah dibuktikan oleh seorang jurusolek dari utara tanahair yang berjaya tampil berseri-seri selepas wajahnya disolek menggunakan garfu sebagai alat bantuan.

Siti Nurfarahain Zakaria, 29, berkata, dia sentiasa mahu kelainan dalam memberi tips dan tunjuk ajar kepada wanita-wanita di luar sana yang mahu belajar teknik solekan dengannya.

Tidak hanya garfu, dia sebelum ini juga pernah menggunakan sudu, kotak tisu dan pembaris untuk bersolek dan hasilnya tidak menghampakan.

"Saya tak mahu orang 'cemuih' (bosan) sebab tu saya selalu fikir sesuatu yang lain untuk mengajar teknik bersolek.

"Apatah lagi bila buat tutorial mekap di 'Facebook live', saya kena tarik perhatian orang untuk tengok dan tunggu sampai saya habis mekap, bukan tengok sekerat (separuh) jalan," katanya kepada mStar Online.


Selain sering menggunakan alat bantuan 'pelik' untuk membantu mencantikkan wajah, dia juga pernah muncul dengan wajah hantu dan badut untuk kelas mencuci mekap.

Kaedah 'gila-gila' ini dilihat berjaya menarik minat orang ramai untuk terus 'melayan' tutorial yang dilakukannya, apatah lagi ia disampaikan secara bersahaja dengan loghat pekat negeri Kedah.

"Memang ramai yang perasan, saya memang cakap pekat macam ni, berus solek jadi 'beruih'.

"Tak palah, janji depa tengok dan terhibur," kata wanita kelahiran negeri Jelapang Padi itu.

Mengulas lanjut mengenai penggunaan garfu, dia berkata ia berfungsi sebagai pembaris, penanda aras atau membuat 'bayang'.

"Banyak sebenarnya boleh dijadikan alat bantuan solekan, saya pernah tengok 'orang putih' guna sudu. Terfikir juga nak guna pisau tapi tak berani pula nanti luka satu muka," katanya berseloroh.

Dengan pengalaman tujuh tahun menceburi bidang solekan dan mempunyai studio sendiri, School of Makeup by Siti Nurfarahain di Alor Setar, Kedah, Siti Nurfarahain berkata, sebagai jurusolek, dia akan memastikan produk yang digunakan berkualiti tinggi tetapi harganya berpatutan.

"Saya akan guna dulu untuk solek muka saya, kalau bagus barulah saya buat tutorial dan syorkan kepada pelanggan," kata bekas kerani sekolah ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan