suria

Suri Rumah Masih Berpantang Dipenjara

PETALING JAYA: Tindakan seorang suri rumah yang masih  berpantang menolong menyembunyikan wang bukan miliknya, membawa padah apabila dia dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, Khamis.

Majistret Atiqah Abd Karim@Husaini menjatuhkan hukuman itu terhadap Khairunnisa Ab Rahim, 26, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan membantu menyembunyikan wang milik Adelina Alies, 35, dengan cara memasukkan wang RM300 dan RM1,400 dalam dua transaksi berbeza ke dalam akaun CIMBnya, yang mana dia mengetahui bahawa wang itu bukan miliknya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bagi setiap pertuduhan  terhadap Khairunnisa  yang memakai stokin dan resah sepanjang prosiding itu dan memerintahkan kedua-dua hukuman tersebut berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 3 Ogos lalu.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di Jalan Kenyalang 11/3H, Seksyen 11, Kota Damansara, di sini pada 21 dan 23 Mac lalu mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia baru sahaja melahirkan anak.

Mengikut fakta kes, Adelina telah tertarik untuk membeli kereta sorong bayi yang diiklankan di sebuah portal dan menghubungi penjual kereta sorong itu yang dikenali sebagai Kak Ana.

Kak Ana kemudiannya memberi nombor akaun untuk urusan pembayaran, namun selepas bayaran dibuat mangsa tidak menerima kereta sorong itu seperti yang dijanjikan.

Hasil siasatan polis mendapati nombor akaun yang diberikan Kak Ana adalah milik tertuduh.-- Bernama


Khairunnisa Ab Rahim, CIMB

Artikel Sebelum

Zaid Mohon Semak Keputusan

Artikel Berikut

'Datuk' Tipu Ditahan

Artikel Lain