suria

Zaid Mohon Semak Keputusan

PUTRAJAYA: Bekas Menteri Undang-undang Datuk Zaid Ibrahim memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak membenarkannya membuat rayuan berhubung tindakan mencabar keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengenai siasatan melibatkan derma RM2.6 bilion.

Dalam notis usul yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan pada Khamis, Zaid memohon mahkamah itu mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya mendapatkan kebenaran untuk merayu.

Zaid juga memohon agar panel baharu Mahkamah Persekutuan dilantik untuk mendengar semula permohonannya.

Pada 28 Julai tahun ini, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif menolak pemohonan Badan Peguam Malaysia, bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Zaid untuk mendapatkan kebenaran mengemukakan rayuan.

Dalam keputusan beliau, Raus berkata keputusan Peguam Negara menggunakan budi bicara mengikut Perlembagan Persekutuan tidak boleh dipersoal di mahkamah.

Ketiga-tiga pihak berkenaan memohon kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan mengenai keengganan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan memberi kebenaran kepada mereka memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara menamatkan siasatan berkaitan derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun bank Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam afidavit bagi menyokong permohonannya, Zaid, yang kini menganggotai DAP, mendakwa panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan terkhilaf dalam pertimbangannya apabila menolak permohonan beliau agar Raus menarik diri daripada mendengar permohonannya untuk mendapatkan kebenaran dan oleh itu, keputusan panel hakim berkenaan menolak rayuannya untuk mendapatkan kebenaran adalah tidak sah dan terbatal.

Pada hari sama, (28 Julai tahun ini), Raus menolak permohonan Badan Peguam Malaysia, Khairuddin dan Zaid agar beliau menarik diri dengan alasan permohonan mereka tidak mempunyai merit kerana beliau akan membuat keputusan tentang kes itu berdasarkan undang-undang dan fakta.

Badan Peguam Malaysia meminta Raus menarik diri atas alasan pihaknya akan memohon prosiding undang-undang tentang kesahan dari segi perlembagaan pelantikan semula Raus sebagai Ketua Hakim Negara setelah bersara wajib.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Khairuddin, mengesahkan anak guamnya juga telah memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan pada 28 Julai itu semalam atas alasan yang sama seperti dikemukakan Zaid.

Katanya, Raus menolak permohonan mereka agar beliau menarik diri dengan memberi alasan yang disampaikan kepada timbalan pendaftar mahkamah itu pada 28 Julai.-Bernama

Datuk zaid Ibrahim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain