suria

“Kami Anggap Belum Selesai” – Vitti Lodge

Klip video perbalahan yang berlaku antara tiga pelajar dan seorang kakitangan Vitti Lodge & Family yang tular pada Jumaat lalu. - Facebook

PETALING JAYA: Pihak Vitti Lodge & Family di Osaka, Jepun hanya akan menerima permohonan maaf remaja yang mengasari pekerjanya dalam insiden di rumah tumpangan itu minggu lalu jika ia dibuat menerusi rakaman video.

Sehubungan itu, pengurusan rumah tumpangan berkenaan menganggap pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan maaf secara rasmi daripada remaja terbabit.

Difahamkan daripada tiga remaja terlibat dalam kejadian itu, lelaki yang berang dan mengasari kakitangan premis itu memiliki kerakyatan Thailand, manakala dua adalah rakyat Malaysia.

Pengurus rumah tumpangan itu, Muhammad Soffi Roslan, 30, berkata, pihaknya masih menunggu remaja bernama Ramadhan Sukrikhan itu untuk tampil membuat permohonan maaf melalui video, bukan sekadar memuat naik kenyataan menerusi Facebook.

"Selagi  tidak membuat permohonan maaf melalui video dan ganti rugi belum dibayar, kami anggap perkara ini belum selesai.

"Memang dia ada menghantar paparan skrin permohonan maaf yang dibuat di Facebook kepada saya menerusi aplikasi Whatsapp, namun siapa sahaja boleh menulis status tersebut.

"Hanya video sahaja boleh membuktikan bahawa dia sudah meminta maaf terhadap pihak pengurusan dan benar-benar kesal dengan perbuatannya," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Isu Najis: Maaf, Saya Tak Tahu Siapa Yang Buat

"Pelajar Malaysia Ugut Pekerja Saya"

Status permohonan maaf yang dimuat naik oleh Ramadhan pada Sabtu.

Kata Muhammad Soffi, Ramadhan memuat naik status tersebut sebaik rakannya, Ku Hidayat memohon maaf melalui video berhubung tindakan menumbuk dinding premis itu sehingga mengakibatkan kerosakan.

Jelas pengurus itu lagi, setakat ini pihaknya hanya menerima permohonan maaf daripada  Ku Hidayat dan bersimpati terhadap seorang lagi remaja, Ahmad Faris yang turut berada dalam video tersebut kerana berada di tempat dan masa yang salah.

Komen netizen yang merujuk kepada Ahmad Faris (remaju berbaju merah).

Menurutnya, pihak Vitti Lodge & Family masih belum menerima sebarang maklum balas mengenai perkara tersebut sejak pesanan dihantar kepada Ramadhan awal pagi Ahad menerusi aplikasi Whatsapp.

"Jika dia benar-benar ingin memohon maaf, kenapa masih berkeras (tidak menjawab pesanan Whatsapp)?" kata lelaki yang juga rakan kongsi Vitti Lodge & Family (Malaysia).

Terdahulu, rakaman video mengenai tiga pelajar yang bercuti di Jepun menimbulkan kekecohan di sebuah premis penginapan tular di laman sosial hingga menimbulkan kemarahan netizen.

Rata-rata netizen masih menunggu Ramadhan untuk memohon maaf melalui video seperti yang dilakukan oleh rakannya, Ku Hidayat.

Artikel Berikut

Artikel Lain