suria

Angeline, Si Pujaan Hatiku!

PETALING JAYA:"Walaupun kau tidak kukenal, tetapi keperibadianmu tetap menjadi pujaan hati rakyat Malaysia".

Mungkin itulah ungkapan yang boleh dilontarkan mengenai seorang gadis yang tular kerana keprihatinannya dan bertanggungjawab.

RapidKL menerusi Facebooknya pada Ahad mencari gadis bernama Angeline kerana tindakan murni yang dilakukannya dalam tren Transit Aliran Massa (MRT), baru-baru ini.

"Netizen, kami perlukan bantuan anda. Kami mahu mencari insan yang baik hati yang menaiki tren MRT.

"Kami perlukan kepakaran anda untuk mencari dia secara dalam talian dan hubungkan kami dengannya," menurut Facebook RapidKL bersama hashtag #rapidklsearchforangeline pada Ahad.

Kisah mengenai Angeline tular apabila dikongsikan seorang netizen di laman sosial.

Mohd Faiz Muhamad Daud berkata, insiden berlaku apabila seorang lelaki tertumpahkan air dalam tren dan menyapu tumpahan itu menggunakan kertas.

Selepas lelaki berkenaan keluar dari tren, seorang gadis pula mengelap kesan tumpahan itu menggunakan tisu.

"Memang tak jangka dia akan lap. Bila tanya dia kenapa buat macam tu, dia cakap nanti ada kesan melekit air manis kan.

"Nama dia Angeline. Patut bagi penghargaan sebab tak ramai orang yang mampu melakukannya," ujar Mohd Faiz.

Bagaimana pun menurut Mohd Faiz, dia tidak mempunyai maklumat mengenai Angeline selain mengetahui gadis itu turun di Stesen MRT Bandar Tun Hussein Onn.

Usaha RapidKL mencari Angeline meraih perhatian ramai netizen termasuk seorang pengguna Facebook dengan nama Uwen Yap yang memperkenalkan dirinya sebagai rakan kolej kepada gadis itu.

Katanya, Angeline tidak mengaktifkan akaun Facebooknya selepas mendapat banyak perhatian netizen apabila kisahnya tular di media sosial.

"Dia masih belum memutuskan untuk tampil tetapi akan menghubungi RapidKL secara peribadi sekiranya dia telah bersedia," kata Uwen Yap.

Angeline, MRT

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Kreatiflah Akak Ni...

Artikel Lain