PETALING JAYA: Tiada putera raja mahu pun sepatu kaca sebagai petunjuk, tapi pencarian gadis ini tetap menjadi perhatian netizen. Hanya berpandukan sekeping gambar seorang gadis berambut panjang, berkaca mata dengan wajahnya terselindung kerana memandang ke lantai, masing-masing menunggu siapakah gerangan bernama Angeline ini. Misi pencarian Angeline yang dibuat RapidKL di laman sosial pada Ahad dengan meminta bantuan netizen berbaloi apabila ia berjaya menemukan gadis yang bertanggungjawab ini. Ketua Komunikasi dan Hal Ehwal Media Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Azhar Ghazali berkata, pihaknya telah menemui gadis berkenaan melalui rakannya di laman sosial. “Kami dah jumpa Angeline. Kami menyampaikan mesej kepada Angeline menerusi rakannya. Bagaimanapun, Angeline tidak mahu mendedahkan dirinya,” kata Azhar kepada mStar Online. Nampaknya, masih ada insan berhati mulia hari ini yang tidak mahu dikenali di atas keprihatinannya, apatah lagi mengharapkan balasan. Menurut Azhar, pihaknya mengucapkan terima kasih di atas sikap murni Angeline sehingga meraih perhatian masyarakat. “Terima kasih Angeline di atas keprihatinan anda. Diharapkan lebih ramai lagi di luar sana seperti Angeline. Marilah kita menjaga pengangkutan awam bersama,” katanya. Kisah mengenai Angeline tular selepas dikongsikan seorang netizen, Mohd Faiz Muhamad Daud di laman sosial, baru-baru ini. Angeline, Si Pujaan Hatiku! Insiden berlaku apabila seorang lelaki secara tidak sengaja telah menumpahkan air di dalam tren dan kemudian menyapu tumpahan itu menggunakan kertas. Selepas lelaki itu keluar dari tren, Angeline pula mengelap kesan tumpahan tersebut menggunakan tisu. Disebabkan identiti Angeline masih menjadi misteri, kebanyakan netizen menyifatkan hanya Mohd Faiz yang dapat mengecam wajah gadis itu. Mengulas mengenai perkara itu, Mohd Faiz berkata, perbualannya bersama Angeline terlalu singkat kurang dari lima minit. “Tak banyak yang kami bualkan. Angeline hanya memberitahu dia seorang pelajar dan mahu turun di Stesen Bandar Tun Hussein Onn. “Saya pun hanya ambil gambar Angeline semasa dia lap lantai sebab sebagai pengguna tetap MRT, bukan mudah nak lihat orang lain prihatin macam tu,” katanya. Bagaimanapun, Mohd Faiz yang menganggap Angeline juga sering menggunakan MRT berkata: “Kalau terjumpa dia lagi, saya akan ucapkan syabas kerana menjadi contoh kepada rakyat Malaysia dan sudah tentu nak ‘selfie’ dengan dia!”