ORANG ramai daripada segenap lapisan umur dan pelbagai kaum sejak seawal 6 pagi berduyun-duyun memenuhi Dataran Merdeka untuk sama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2017. Menggunakan kemudahan pengangkutan awam khususnya Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), monorail dan bas, orang ramai termasuk pelancong berpusu-pusu bergerak ke dataran yang hari ini bertukar wajah menjadi ‘Stadium Merdeka' untuk mendapatkan tempat duduk terbaik bagi menyaksikan sambutan yang diadakan setahun sekali itu.